Sabtu, 2 Jun 2012

Pesuruhjaya Sukan: Sukan drag bukan perlumbaan haram

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Kemalangan perlumbaan drag yangmenyebabkan 17 penonton cedera pada Himpunan Jutaan Belia di Putrjaya minggulepas, bukan perlumbaan haram, kata Pesuruhjaya Sukan, Datuk Mohd Yasin Mohd Salleh.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan, selaku penganjur perhimpunan itu, tidak perlu mendapatkan kelulusan mana-mana pihak sebelum menganjurkan apa jua bentuk sukan.

"Mana-mana kementerian atau badan kerajaan di peringkat Persekutuan, Negeri atau tempatan boleh melaksanakan apa-apa aktiviti sukan tanpa perlu mendapatkan kelulusan daripada mana-mana badan sukan yang berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

"Sebarang aktiviti sukan boleh dilaksanakan oleh mana-mana kementerian atau badan kerajaan yang lain sama ada di peringkat Persekutuan, Negeri atau tempatan selaras dengan peruntukan Seksyen 5, Akta Pembangunan Sukan 1997," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian 27 Mei lepas, 17 penonton cedera termasuk empat parah apabila sebuah daripada kereta yang mengambil bahagian dalam acara drag itu terbabas semasa sesi ujian sebelum perlumbaan sebenar bermula.

Mohd Yasin bagaimanapun berkata, PPS tidak menafikan prosedur keselamatan dalam penganjuran apa jua aktiviti sukan adalah sangat penting dan perlu dipatuhi oleh semua pihak.

Beliau menegaskan, setiap penganjur sukan permotoran perlu mempunyai keperluan teknikalnya sendiri dalam memastikan aktiviti sukan tersebut berjalan lancar serta menjamin keselamatan semua pihak.

Beliau berkata, penganjuran sukan tersebut adalah bagi mengalakkan pembangunan sukan bermotor di peringkat kebangsaan dan perlu dilaksanakan agar semua pihak yang terlibat dalam sukan tersebut mendapat manfaat. - Bernama

Tiada ulasan: