Selasa, 19 Jun 2012

Penyertaan tokoh gelombang baru kepada PAS

Hazayani Zakaria,



KUALA LUMPUR, 18 Jun: Penyertaan tokoh-tokoh daripada pelbagai bidang dan latar belakang ke dalam PAS merupakan lonjakan baru kepada parti itu.

Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS yang membangun di negara demokrasi memerlukan sokongan rakyat daripada pelbagai latar belakang dan kemahiran untuk menyampailkan mesej Islam yang luas.

"Bahkan kita melihat dalam Al-Quran sendiri banyak surah yang dinamakan dengan pelbagai nama yang berkait pemuda, wanita, binatang, penyair.

"Itu menandakan bahawa sejak awal lagi Islam menarik pelbagai golongan untuk menyertai Islam dan mereka boleh bergiat dengan peranan masing-masing dengan petunjuk yang betul yang terkandung dalam Al Quran.

"Islam tidak menghalang kebolehan seseorang tetapi kebolehan itu mestilah disalurkan untuk membuat kebajikan, bukan membawa kemungkaran," kata beliau kepada Harakah dan Harakahdaily di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, selepas menerima borang keahlian daripada bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Salleh Jafaruddin. (Gambar atas)

Mengulas penyertaan Salleh ke dalam PAS, beliau berkata, kemasukan Salleh bukan sahaja memberi gelombang baru kepada PAS di Sabah dan Sarawak tetapi turut sampai ke Semenanjung kerana Salleh merupakan orang yang berpengaruh dalam kerajaan suatu ketika dahulu.

"Penyertaan Datuk Salleh yang sangat PAS alukan bukan sahaja menjadi satu gelombang kepada PAS di Sarawak secara khusus bahkan di Semenanjung kerana beliau seorang tokoh politik yang menyertai kabinet, merupakan timbalan menteri pelajaran dan beliau juga seorang aktivis masyarakat yang terlibat dalam pembukaan sekolah-sekolah tahfiz di Sabah dan Kalimantan.

"Ini merupakan satu peranan yang besar dan beliau merasakan tidak habis jika tidak melibatkan diri dalam politik kerana politik merupakan satu pemangkin yang terkuat bagi melaksanakan cita-cita bagi seorang Islam," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Tambah beliau, Islam merupakan fitrah dan ideoloi ciptaan manusia tidak mampu memberikan kepuasan kepada manusia menyebabkan merek akan kembali kepada fitrah.

"Perkembangan ini berlaku kerana kegagalan ideologi ciptaan manusia untuk memberi kepuasan kepada manusia kerana semua ideologi dan ajaran itu tidak memenuhi segala aspek yang ada dalam naluri manusia.

"Inilah yang menyebabkan bila mereka sudah menyelami bidang masing-masing, tak sampai ke mana-mana. Akhirnya bila habis tempohnya mesti balik kepada asalnya dan Islam adalah asal kepada manusia seluruhnya," katanya.

Tiada ulasan: