Rabu, 13 Jun 2012

Peluang saksama ancam siapa?

Oleh Mazir Ibrahim



Sewaktu di bangku sekolah hingga ke peringkat menengah, saya memang aktif bersukan. Semua jenis sukan pernah saya wakili, baik di peringkat rumah sukan, sekolah hinggalah ke daerah – Bolasepak, sepaktakraw, bola baling dan hoki.

Namun ada beberapa jenis sukan yang saya minati tetapi terhalang untuk menyertainya kerana masalah yang tidak dapat difahami oleh seorang pelajar sekolah. Antaranya bola keranjang dan tenis meja atau ping pong.

Sukan ini biasanya disertai murid dari kalangan kaum Cina manakala murid Melayu yang melihat ramai Cina menyertainya, tidak terasa ghairah untuk sama-sama menyertai sukan-sukan tersebut. Secara tidak langsung, ‘galakan’ ini menjadi budaya bila mana “lu Cina pergi main bola keranjang, gua Melayu main sepaktakraw”. Inilah antara beberapa ungkapan murid-murid yang masih diingati.

Dalam babak-babak hidup yang lain, saya pernah menolong bonda berniaga seketika di bulan Ramadhan di mana ibu pernah mengajak jiran kami dari kaum Cina untuk turut sama berniaga. Perniagaan kami ini hanya kecil-kecilan, ia lebih kepada budaya, minat dan keseronokan untuk memeriahkan lagi suasana Ramadhan.

Sampai di tapak bazar, tiga empat peniaga lain berbisik kepada bonda. “Ini Cina mana? Buat apa dia ikut sama berniaga di sini? Siapa bawa dia ke mari?”. Puas bonda menerangkan tapi peniaga Melayu masih kurang selesa.

Diringkaskan cerita, oleh kerana semangat bonda yang tidak mahu keseronokan berniaga di bulan Ramadhan terganggu, selang beberapa hari, jiran Cina kami itu telah  turut sama menolong di gerai kami, semua itu atas desakan bonda.

Berpecah-pecah

Peristiwa-peristiwa terpencil ini mendatangkan beberapa persoalan kepada kita mengenai kesaksamaan peluang. Adakah dengan memecah-mecahkan kegiatan ekonomi atau sukan mengikut sesuatu kaum ini maka kita telah dianggap berlaku adil?

Adakah dengan mengagih-agihkan aktiviti seperti itu telah memberi peluang yang saksama kepada kaum Melayu, Cina dan India di Semenanjung khususnya?

Jika ada Cina yang berniaga makanan halal di bazar Ramadhan, adakah peluang perniagaan peniaga Muslim atau Melayu akan tergugat? Adakah dengan hanya menggalakkan anak-anak Cina bergiat aktif dalam sukan bola kerajang, maka pasukan Malaysia akan mampu menyertai kejohanan dunia?

Atau, dengan hanya kaum Melayu sahaja yang menyertai sukan sepaktakraw maka itu akan mengekalkan tradisi sukan tersebut ? Walau pun kita terus gagal bersaing dengan kaum bukan Melayu seperti bangsa Siam dan Jepun?

Pekerjaan ikut kaum?

Pengalaman ini hanya dalam aspek yang pernah saya alami. Bagaimana dengan bidang yang lain? Adakah sektor awam di jabatan-jabatan kerajaan persekutuan atau negeri hanya ‘digalakkan’ untuk mereka yang Melayu sahaja? Galakan ini tidak dilakukan dengan rasmi, sebaliknya dengan cara berbisik-bisik.

Pernah seorang kawan berseloroh dengan lawak kaum: “Nak cari orang Cina dalam perkhidmatan awam, kita boleh jumpa dalam PDRM, nak cari kaum India dalam perkhidmatan awam, dulu ada dalam LLN (sekarang TNB) atau KTM, kini boleh lihat dalam JKR dan majlis bandaran”. Malah ada yang menyebut, “Melayu jadi petani di kampung kerana orang Cina telah penuh berniaga di pekan dan bandar”.

Bagi sesetengah orang jenaka itu mungkin rasis bunyinya. Namun apakah sebenarnya realiti yang ada dulu dan sekarang adalam masyarakat kita yang pelbagai kaum ini?

Peluang saksama

Peluang yang saksama pada mana-mana kaum dalam apa-apa bidang pastinya akan memberi perubahan pada demografik sosial, ekonomi, sukan hinggalah politik. Malah dimensi sesuatu bidang itu juga akan turut berubah menjadi lebih meriah dan harmoni.

Dari segi persaingan pula, pastinya ia akan lebih sihat kerana masing-masing akan berlumba-lumba untuk lebih cekap dan terbaik.

Jangan pula ada yang keliru tentang ‘kesaksamaan peluang’ dengan ‘sama rata’. Peluang saksama bererti membuka peluang yang adil untuk semua tanpa mengira kaum, agama dan jantina. Sama ada berjaya atau tidak selepas itu, terpulang kepada mereka yang diberi peluang saksama.

Istilah ‘sama rata’ pula bermaksud tanpa mengira usaha atau kelayakan, ia mesti dipaksakan untuk semuanya menjadi setara. Ini pernah dijadikan eksperimen di negara-negara komunis dulu, dan terbukti ia gagal kerana tiada persaingan sihat, menjadikan rakyat malas berusaha kerana tiada insentif dan berlaku penipuan dan kronisme.

Keadilan menjadi teras 

Paling utama ialah semua rakyat Malaysia boleh mendapat layanan seadilnya kerana potensi dan bakat setiap anak-anak Malaysia inilah yang ingin kita cungkil dan majukan. Tanpa keterbukaan amat sukar kemajuan diri dicapai. Hasil dari kemajuan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membantu sesuatu kumpulan masyarakat yang miskin dan yang memerlukan juga.

Hanya kelompok yang kurang berilmu sahaja yang akan melihat peluang saksama ini akan mengancam kedudukan kelompoknya, ini adalah manifestasi kepada sifat tidak mahu bersaing secara sihat.

Para pemimpin UMNO melihat agenda kesaksamaan peluang sebagai musuh kaum Melayu, kononnya.
Walau pun ramai sudah sedar bahawa alasan itu hanya untuk para pemimpin tersebut terus mencucuk hidung orang Melayu.

Contoh ironi penentangan UMNO terhadap peluang saksama adalah bila mana kerajaan UMNO-BN mahu menghapuskan atau menarik balik subsidi rakyat (seperti harga petrol dan diesel serta pinjaman PTPTN di Selangor baru-baru ini), pandai pula mereka memberi alasan bahawa masyarakat Melayu boleh dan mesti berani bersaing.

Jadi, agenda peluang saksama ini memberi ancaman kepada siapa sebenarnya?

Ketahuilah, sebelum wujudnya kelompok Melayu elit bernama UMNO di tanah air kita, sudah ramai pelayar dan pedagang Melayu yang merantau ke pelusuk dunia menunjukkan bakat dan kebolehan mereka.

Mereka berani bersaing dengan bangsa lain di rantau ini, malah dari benua lain, tanpa bergantung kepada subsidi atau kuota kaum daripada mana-mana empayar Melayu, sama ada Sriwijaya atau Melaka. Adakah sejarawan UMNO tidak sedar akan hal ini? – Roketkini.com

Tiada ulasan: