Sabtu, 9 Jun 2012

Pelajar UNISEL tebusan UMNO?

Oleh Muhammad Zir




Selepas pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN kepada pelajar-pelajar Universiti Industri Selangor (UNISEL) dibekukan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan yang angkuh sekali – seperti mahu “mengajar” para pelajar di negeri Pakatan Rakyat.

Beliau menyifatkan tindakan Kementerian Pengajian Tinggi tersebut sebagai ‘adil’ dengan maksud ingin “menampar” pentadbiran Pakatan, khususnya PKR yang begitu lantang memperjuangkan isu pendidikan percuma.

Tindakan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran jelas sekali adalah tindakan politik yang tidak ada justifikasi rasional sama ada ia bertujuan untuk mengkaji semula sistem tersebut atau berdasarkan apa-apa saranan munasabah dari pihak profesional kepada kerajaan.

 Malah tindakan politik UMNO dan Barisan Nasional ini nyata sekali mahu mendera ibu bapa dan pelajar di institusi pengajian tinggi agar menanggung padah akibat permainan politik manusia-manusia yang gila kuasa. Inilah moral politik yang sedang UMNO perjuangkan.

Kita yang waras seharusnya melihat bahawa soal penentangan atau pertembungan idea berkenaan dengan isu pemansuhan PTPTN di antara UMNO dan PKR ini adalah soal politik dasar. Jika berlaku dialog atau bahas, maka ia dianggap baik sekali dalam rangka demokrasi yang matang.

UMNO mangsakan pelajar, ibu bapa

Tetapi apa jua penentangan soal idea politik, tidaklah seharusnya menjadikan pelajar-pelajar UNISEL yang majoritinya orang Melayu sebagai tebusan politik oleh UMNO.

Bagaimana mungkin UMNO yang kononnya memperjuangkan “nasib bangsa Melayu” sanggup memudaratkan dan menzalimi anak bangsa sendiri hanya semata-mata kerakusan kuasa dan permainan politik kotor mereka.

Nah sekarang, siapa tindas siapa?

Jika merujuk kepada kenyataan Muhyiddin itu, maka ingin kita soal kembali, di mana ‘adil’nya tindakan kerajaan dalam isu ini?

Hakikatnya, isu pemansuhan PTPTN ini masih di peringkat perbahasan dan perbincangan oleh semua peringkat dan semua pihak. Ia suatu proses yang memakan masa, ia perlu melibatkan semua pandangan dan saranan.

Malah, sesuatu dasar itu tidak akan dapat dilaksanakan tanpa mendapat mandat yang kukuh dari rakyat. Hakikat ini harus difahami dan diterima oleh semua pihak.

Malah, salah satu cadangan PKR adalah memansuhkan PTPTN dan digantikan dengan pendidikan percuma. Kementerian yang dikuasai UMNO cuba bermain politik dengan memansuhkan PTPTN hanya terhadap para pelajar UNISEL tanpa memperkenalkan pendidikan percuma. Ini penindasan namanya.

Pelajar, ibu bapa perlu buat penentuan

Oleh kerana para pemimpin UMNO gila main politik, maka pelajar dan ibu bapa tidak banyak pilihan kecuali bertindak atas dasar kebenaran dan keadilan. Oleh itu, pertarungan sebenar adalah pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Jika begini perangai pemimpin UMNO yang sudah terserlah kebencian mereka terhadap anak bangsa sendiri yang menuntut hak dan keadilan, perlu apa lagi dikekalkan pemerintahan yang zalim ini.

Kita mahukan masa depan pelajar kita cerah dan peluang untuk mereka mencanai potensi diri terus terbuka tanpa diskriminasi sepertimana amalan UMNO dan BN selama ia memerintah.

Cukuplah UMNO dengan politik hasadnya, rakyat Malaysia sudah jemu dengan polemik yang meleret-leret ini. Hentikan kuasa UMNO dalam pilihan raya yang bakal menjelang tiba. – Roketkini.com

Tiada ulasan: