SEORANG rakan daripada sebuah unit falak sebuah universiti di utara tanah air memberitahu penulis tentang dua tarikh penting yang senantiasa dinantikan umat Islam. Ia berkisar tarikh mula berpuasa dan sambutan Aidilfitri.
Ditanya bila tarikh kedua-duanya? Jawabnya, dari pengamatan unit falaknya, yang memang disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahih saban tahun — umat Islam di negara ini dijangka mula berpuasa pada Sabtu, 21 Julai depan manakala Hari Raya Aidilfitri disambut pada Ahad 19 Ogos.
Dengan tarikh sedemikian, umat Islam akan berpuasa selama 29 hari.
Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, dua tarikh berkenaan begitu signifikan kerana terlalu ramai ketika ini asyik bercakap perihal Pilihan Raya Umum ke-13.
Dengan tarikh puasa berkenaan, ramai mengandaikan PRU berkenaan selewat-lewatnya berlaku pertengahan Julai ini. Ditambah pula, ada mengatakan senarai calon Barisan Nasional (BN) pun sedang disemak dan diteliti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Namun, pengumuman Najib tentang tarikh pembentangan Bajet 2013 pada 28 September depan 'merencatkan' sedikit 'peramal-peramal' tarikh PRU-13 ini. Dengan tanggapan mereka bahawa semua perancangan yang digariskan dalam Bajet 2013 perlu dilaksanakan dengan baik terlebih dahulu, 'tarikh' kemudian dianjakkan ke Oktober pula.
Tetapi bagaimana pula dengan musim haji. Dengan andaian jemaah akan secara berperingkat ke Mekah sebulan selepas Aidilfitri iaitu penerbangan awal kumpulan jemaah pertama pada Isnin, 17 September dan dengan Aidiladha disambut 26 Oktober, justeru, apakah 'tarikh baru peramal' tadi.
Dan dengan pembentangan Bajet 2013 itu, dikatakan pilihan raya umum berkemungkinan besar tidak diadakan sebelum Oktober ini.
Apa pun tarikh PRU-13 oleh para peramal, di merata pelosok negara ketika ini, kempen-kempen agresif sedang digerakkan oleh semua parti politik. Di masjid-masjid dan surau, pelbagai jenis risalah bertebaran. Soal siapa benar, siapa salah ditolak ketepi.
Yang penting, 'isunya' ada. Kalau lihat akhbar Suara Keadilan, isu yang dimainkan kebelakangan ini hanyalah berkisar pembelian kapal selam negara yang sibuk 'dibancuh' mereka. Padahal sudah terang lagi bersuluh, tak ada sebarang bayaran komisen di peringkat kerajaan dilaporkan berlaku. Cuma, 'gerak saraf' yang dimainkan pembangkang agak lebih tersusun dengan 'think-tank' mereka yang mampu 'menggarap' dari isu 'kecil' ke besar.
Di Pulau Pinang senario sama berlaku. Misalnya, Ketua Menterinya, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan dalam blog pro pembangkang pada 29 Mei lalu mengatakan bahawa bilangan 'arahan pemberhentian bekerja' (stop-work order) yang banyak menunjukkan bahawa kerajaan negeri DAP tegas kepada pemaju perumahan.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin menyangkalnya. Kata beliau, ia satu kenyataan yang kurang bijak sama sekali.
“Kenyataan tersebut adalah untuk menyangkal bahawa kerajaan negeri DAP telah memanjakan pemaju-pemaju perumahan mewah di Pulau Pinang.
“Guan Eng telah menyatakan bahawa bilangan ‘stop-work order’ oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebanyak 11 kali dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebanyak 259 kali membuktikan bahawa DAP lebih tegas terhadap pemaju.
“Pemuda mahu mengingatkan Guan Eng agar jangan cuba memutarbelit fakta. Isu yang penting adalah bukan siapa yang memanjakan pemaju tetapi bilangan perumahan mampu milik rakyat miskin dan sederhana di Pulau Pinang,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi e-mel kelmarin.
Kata beliau: “Kenyataan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan membina 12,000 unit rumah mampu milik di daerah Seberang Perai Selatan, ditambah pula pengumuman baru tambahan 6,000 di empat daerah lain jelas membuktikan pembangunan yang tidak seimbang bagi setiap daerah di keseluruhan Pulau Pinang.
“Persoalan pertama yang timbul, kononnya wang hasil jualan tanah emas Bayan Mutiara sebanyak RM500 juta digunakan untuk membiayai perumahan di Batu Kawan tetapi sehingga hari ini, pemaju Bayan Mutiara masih tidak membayar RM500 juta.
“Persoalan seterusnya pula, mengapakah rumah-rumah kos rendah dan sederhana lebih ditumpukan hanya di kawasan seberang dan bukan di bahagian pulau. Di samping itu Guan Eng juga menganggarkan sebanyak 20,000 rumah mampu milik akan dibina pemaju swasta yang tidak dapat dipastikan lagi. Yang mana jumlah kesemuanya adalah 38,000 unit rumah mampu milik akan dibina, takut janji tinggal janji,” kata Shaik Hussein.
Guan Eng, kata beliau, kelihatan sekali lagi cuba bermain dengan angka tetapi hakikatnya rakyat Pulau Pinang masih mencari-cari di manakah 11,596 rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang kononnya telah dibina oleh kerajaan negeri pakatan pembangkang menerusi PDC sejak 2008 yang dilaporkan di dalam akhbar ‘buletin mutiara’ milik kerajaan negeri.
Ironisnya, kata beberapa pemerhati kepada penulis, BN tidak perlu tergesa-gesa untuk merealisasikan satu pilihan raya umum dalam waktu terdekat.
Meskipun saat ini, diyakini BN memiliki “bola yang hanya berdepan tiang gol” namun isyarat yang tepat dan kena pada masanya penting untuk memastikan mandat rakyat terus berkekalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan