Sabtu, 9 Jun 2012

Kanak-kanak maut tercampak dari kereta

SINAR HARIAN

IPOH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 bulan terbunuh setelah tercampak dari kereta yang dinaiki selepas terbabit dalam kemalangan di km203.8 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kamunting awal hari ini.
  
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Yusof Mohd Diah berkata kejadian berlaku pada 3.20 pagi ketika kanak-kanak itu, Mohamad Fiffy Furqan Mohd Fahmi, yang berasal dari Jitra, Kedah, menaiki kereta bersama keluarganya dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur.
  
Setibanya di tempat kejadian, kereta jenis Proton Gen-2 yang dipandu bapanya, Mohd Fahmi Salleh, 34, dikatakan terbabas ketika cuba mengelak satu objek di atas jalan raya lalu merempuh penghadang jalan, katanya ketika dihubungi hari ini.
  
Beliau berkata pada masa yang sama, sebuah kereta jenis Perodua Viva yang mengekorinya merempuh belakang kereta yang dinaiki Mohamad Fiffy, menyebabkan mangsa yang diriba ibunya Norasmah Ngah Seri, 32, terlepas daripada pegangan lalu tercampak keluar dari tingkap kereta yang terbuka dan terjatuh di atas jalan.
  
Akibat kejadian itu, kanak-kanak itu mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.
  
Yusof berkata ibu bapa mangsa dan dua kakaknya masing-masing berusia lima dan tujuh tahun hanya cedera ringan, manakala pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Viva turut mengalami cedera ringan. Mereka dirawat sebagai pesakit luar di hospital yang sama.
  
Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat turut dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit, katanya. - Bernama

Tiada ulasan: