Jumaat, 8 Jun 2012

Kadir: PAS sekarang seperti Umno zaman Tunku

 
Abdul Rahim Sabri


 
Presiden penaja Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir memuji PAS dan menyamakannya seperti Umno sewaktu sewaktu kepimpinan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman.

Katanya, parti yang menggunakan slogan "PAS untuk Semua" itu tidak mengamalkan rasuah serta menghormati agama dan budaya kaum lain.

Di samping itu, katanya, PAS menjadikan al-Quran sebagai panduan dan mengambil kira pertimbangan dosa dan pahala dalam tindakan politiknya.

NONE"(Perjuangan) Umno masa Tunku Abdul Rahman dengan PAS hari ini serupa. Beliau (Tunku) tidak angkuh, kasih kepada kaum Melayu, Cina dan India. PAS pun hormat agama dan budaya semua kaum," katanya.

Bercakap sewaktu menyampaikan ucapan pelancaran (IKATAN) yang diterajuinya, Kadir bagaimanapun berkata pujian itu tidak bermaksud bahawa parti lain tidak baik, tetapi beliau "tidak sempat untuk mengenalinya".

Beliau yang juga timbalan presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) berharap IKATAN dapat memberi tumpuan terhadap pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu padu, saksama dan bahagia.

NONEDiminta menjelaskan pujiannya kemudiannya, Kadir berkata beliau memuji PAS kerana parti itu mempunyai "banyak persamaan" dengan Umno sewaktu dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman khususnya soal menghormati kaum dan agama lain.

"Saya boleh masuk PAS tapi kawan-kawan saya tak boleh masuk PAS.

"Kami percaya untuk membawa rakyat berbilang kaum secara bersama," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapannya.

Sebelum menubuhkan IKATAN, Kadir sebelum ini dispekulasi akan menyertai salah satu parti dalam Pakatan Rakyat, termasuk PAS.

IKATAN yang baru ditubuhkan, antaranya menjadikan semangat perlembagaan dan amanat kemerdekaan Tunku Abdul Rahman sebagai paksi perjuangannya.

Tiada ulasan: