Ahad, 24 Jun 2012

Jika loji Lynas selamat, sila simpan sisa toksik di belakang rumah Perdana Menteri

Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hanya dapat meyakinkan rakyat Malaysia bahawa “fakta saintifik” yang membuktikan loji pemprosesan nadir bumi Lynas Corp di Gebeng, Pahang adalah selamat sekiranya sisa disimpan di belakang kediaman Perdana Menteri.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, rakyat sudah pun membuat keputusan mengenai keselamatan loji pemprosesan nadir bumi itu apabila mereka sedar kerajaan Australia enggan mengambil kembali sisa nadir bumi.

Tambah beliau, rakyat juga tahu tentang “selamatnya” loji Lynas itu yang tidak ditempatkan di Putrajaya tetapi dibina di kalangan rakyat biasa di Gebeng.

“Lihat betapa kurang sensitifnya Perdana Menteri apabila beliau mengungkapkan kebimbangan mengenai kesihatan dan keselamatan awam sebagai ‘kebimbangan rekaan’ apabila beliau, isteri serta anak-anaknya tidak perlu menghadapi risiko sekiranya apa-apa berlaku.

“Jika Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin tidak berani menunaikan janji untuk tinggal di sebelah loji Lynas, bagaimanakah Najib boleh menyatakan bahawa tidak ada fakta-fakta saintifik yang dapat menimbulkan keraguan mengenai keselamatan awam atau persekitaran?” soal beliau dalam satu kenyataan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Najib ingin membenarkan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) untuk beroperasi kerana Barisan Nasional lebih mementingkan keuntungan daripada kesihatan rakyat.

“Kegagalan untuk mendengar kebimbangan rakyat ini menonjolkan perbezaan antara BN dan Pakatan Rakyat dalam pendirian persekitaran di mana PR ingin menutup LAMP,’ ujarnya.

Menurutnya, Najib belum menjelaskan kenapa Lynas perlu berkunjung beribu-ribu batu untuk mengangkut bijih nadir bumi yang dilombong di Australia Barat ke Kuantan, sedangkan kos untuk membinanya di Australia adalah lagi murah.

Tambah beliau, Najib harus belajar daripada kerajaan Australia yang mementingkan kebajikan, kesihatan dan persekitaran rakyat daripada merebut keuntungan dengan menggadaikan nyawa rakyat sendiri. – Roketkini.com

Tiada ulasan: