Isnin, 18 Jun 2012

Henti aktiviti luar kem PLKN jika IPU lebih 100

ROSNANI SAAD

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil 
 
 
KUALA NERANG - Semua aktiviti luar di kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara perlu dibatalkan jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kem masing-masing mencatatkan bacaan melebihi 100.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada komandan kem berhubung perkara itu dan meminta pelaksanaannya dilakukan segera.

Berdasarkan keadaan semasa, jerebu melanda beberapa kawasan di seluruh negara. Kita mengarahkan agar semua aktiviti luar di semua kem PLKM dibatalkan sekiranya IPU melebihi 100.

Jika IPU dicatatkan antara 95 hingga 99, pelatih perlu dibekalkan dengan penutup hidung dan mulut. Aktiviti luar pula akan dikurangkan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Dusun Minda Resort, semalam.

Menurutnya, arahan itu bagaimanapun tertakluk kepada bacaan IPU di kem masing-masing.

Ia akan disemak oleh komandan kem yang seterusnya membuat keputusan berdasarkan bacaan IPU semasa," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi berkata, terdapat seramai 24,000 pelatih PLKN kumpulan kedua yang sedang menjalani latihan di seluruh negara.

"Mereka sudah menamatkan modul pembangunan karekter dan ketika ini mengikuti program khidmat masyarakat.

"Selepas ini kita akan masuk kepada modul aktiviti fizikal iaitu latihan menembak. Namun untuk Kem Dusun Minda Resort, ia hanya akan dilakukan selepas mendapat nasihat doktor," katanya.

Tiada ulasan: