Sabtu, 2 Jun 2012

Giliran bekas KSU Tanah dan Koperasi pula sertai PAS


Ribuan penyokong PAS berkumpul sejak siang hari bagi memeriahkan "Himpunan Hijau ke Putrajaya" anjuran parti itu di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 1 Jun 2012.
 
 
KUALA LUMPUR— PAS telah menerima seorang lagi ahli baru daripada kalangan veteran bekas kakitangan tertinggi pegawai kerajaan semalam dengan penyertaan bekas ketua setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Profesor Dr Nik Zain Nik Yusof.

Penyerahan borang keahlian parti Nik Zain itu dibuat dihadapan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang di depan lebih 100,000 ahli dan penyokong PAS di Stadium Darul Aman, akhbar Harakah Daily melaporkan.

PAS dilihat mula merekrut golongan professional bekas pegawai kerajaan untuk menyertai parti tersebut bagi membolehkan mereka menerima sokongan pengundi Melayu dengan pilihan raya yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Nik Zain telah menjawat jawatan sebagai KSU sejak 1998 hingga 2002 di kementerian tersebut.

Sebelum ini, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari  telah menyerahkan borang keahlian PAS secara rasmi.

Borang tersebut telah diserahkan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dalam satu majlis pengisytiharan rasmi di Larut, Perak bulan lalu.

Fauzi dalam ucapannya berkata, penyertaan beliau ke dalam PAS bukanlah atas dasar mahu bertanding kerusi sebaliknya, sekadar membantu usaha ke arah kerja-kerja Islam yang dibawa PAS.

Beliau turut menjelaskan, penyertaan dalam PAS itu dibuat selepas yakin dirinya tidak terlibat dalam sebarang kes jenayah semasa berada dalam pasukan polis.

Semasa menjadi Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya berkenaan.

Katanya, kehadiran beliau pada majlis itu juga sebagai pengenalan kepada penyokong dan masyarakat sebelum bergiat aktif selepas ini.

Penyertaan Fauzi itu dilihat adalah antara nama besar yang menganggotai parti Islam tersebut yang memulakan kempen merekrut tokoh ternama untuk meningkatkan undi dalam pilihan raya akan datang.

Fauzi, yang pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai penyiasat, kedudukan ketiga tertinggi dalam pasukan keselamatan tersebut, telah di katakan akan menyertai PAS sebulan lalu bersama bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Ramli Yusoff dan bekas menteri Kabinet Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Ramli dan Abdul Kadir menafikan mereka menyertai PAS walaupun telah mengumumkan keluar Umno setelah mengatakan parti itu dibelenggu politik wang.

Fauzi, bersara dua tahun daripada pasukan keselamatan berkenaan tanpa sebarang hebahan.

The Malaysian Insider sebelum ini turut melaporkan PAS mahukan Ramli dan Abdul Kadir untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Ramli dilihat sering memberi tekanan kepada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk tribunal menyiasat dakwaan salah guna kuasa Peguam Negara.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad berkata kedua-dua mereka akan memberikan maklumat jenayah yang dilakukan kerajaan BN sebelum ini.

Abdul Kadir turut mengesahkan kedua-dua PAS dan PKR telah “mencadangkan” untuk menyertai mana-mana antara dua perti itu, sebelum pilihan raya, namun beliau masih lagi tidak membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu menjelaskan beliau menyertai program ceramah PAS sebagai tetamu jemputan, dan akan terus menghadiri program  Pakatan Rakyat (PR).

Abdul Kadir telah mengesahkan beliau akan menubuh sebuah parti politik baru, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Bekas Menteri Penerangan ini akan mengetuai parti Ikatan selepas berkhidmat sebagai timbalan presiden Amanah untuk tempoh setahun lebih.

Parti itu dijangka akan bergabung dengan PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam gagasan Pakatan Rakyat (PR).

Tiada ulasan: