Jumaat, 8 Jun 2012

Gamis kecam beku PTPTN pelajar, tuntut kerajaan mohon maaf

 
 
KUALA LUMPUR — Pertubuhan pelajar, Gagasan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini mengecam tindakan Kementerian Pengajian Tinggi membekukan pinjaman PTPTN terhadap pelajar tahun satu Universiti Selangor (Unisel).

Gamis juga menuntut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar), Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin, dan Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said mengemukakan permohonan maaf kepada Unisel dan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor atas tindakan tersebut.

“Tindakan tersebut jelas sekali menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan Malaysia dan bercanggah dengan moto ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

“Dengan peruntukan sejumlah RM43 billion yang diluluskan oleh kerajaan dan hanya RM27.5 billion yang dibayar kepada para peminjam, sepatutnya PTPTN berkemampuan menjalankan fungsinya ke atas semua IPT yang berkaitan tanpa pengecualian ke atas IPT tertentu,” jelas kenyataan tersebut.

Semalam, dalam respon berhubung pembekuan pinjaman tersebut terhadap pelajar tahun satu Unisel yang mendaftar April lalu, Muhyiddin menyifatkan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu sebagai “adil” kerana ia hanya reaksi kepada dasar PKR.

Ahli Parlimen Pagoh itu bagaimanapun berkata tindakan PTPTN itu hanya bersifat sementara waktu.

“Dia tangguh, bukan batal, nak periksa dulu. Adil lah. Kalau MB kata tidak perlu ambil, tidak perlu bagi lah,” katanya.

Gamis sebaliknya melihat KPT atau PTPTN tidak selayaknya menafikan hak para pemohon yang berkelayakan dan memohon dengan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Apatah lagi tindakan itu dikenakan ke atas. mahasiswa di sebuah IPT berprestij seperti Unisel yang telah terbukti melahirkan ramai graduan berkualiti.

“Kegagalan menyediakan pinjaman pengajian tersebut akan merencatkan prestasi akademik para pelajar,” jelas kenyataan itu lagi.

Gamis turut menambah, “pembekuan pinjaman itu juga dilihat amat jelek kerana menjadikan mahasiswa sebagai mangsa.”

Tiada ulasan: