Editor Buletin
Budaya
mengugut dan membangkit-bangkit apa yang kononnya dikatakan sebagai
kebaikan kerajaan sekarang ini oleh pimpinan Umno Terengganu semakin
menjadi-jadi. Kenyataan demi kenyataan oleh pimpinan Umno Terengganu
kebelakangan ini, sangat jelas mengugut pegawai
kerajaan dan juga kepada rakyat marhaen agar menyokong Barisan Nasional
(BN) dan menolak Pakatan Rakyat (PR).
Beberapa hari lepas Menteri
Besar Terengganu Dato’ Ahmad bin Said telah mencabar anggota-anggota
keselamatan yang menyokong kerajaan supaya meletakkan jawatan sekiranya
berhasrat menyertai pembangkang. Ini menurutnya lagi, adalah jelas satu
pengkhianatan kepada Negara kerana tindakan mereka sepatutnya tidak
bercanggah dengan dasar pemerintah yang sedia ada. Kemudian datang pula
laporan tentang cabaran Ahmad Said agar peserta Felda keluar dari tanah
rancangan sekiranya benar-benar mereka mendapati Felda telah menipu
mereka.
Semalam (6hb Jun) pula dalam laporan sebuah akhbar
harian, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh Muhammad Ramli Haji Nuh
(kiri) pula telah mengeluarkan kenyataan membangkit-bangkit pemberian
oleh kerajaan BN. Beliau menganggap pihak yang tidak menyokong kerajaan
sebagai golongan yang lupa diri terhadap jasa dan sumbangan kerajaan.
“Mereka
lupa asal usul dari mana dan lupa datuk nenek mereka dahulu bergantung
kepada kerajaan. Kita tidak kata semua terlibat tetapi unsur-unsur
kebergantungan kepada kerajaan itu sudah dilupakan,” beliau dipetik
sebagai berkata.
Begitulah ugutan-ugutan yang telah dikeluarkan
oleh pimpinan Umno negeri Terengganu. Satu tindakan desperado oleh Umno
Terengganu. Saya ingin menasihatkan Menteri Besar Terengganu dan Adun
Tepoh, supaya belajar dahulu makna demokrasi sebelum membuat kenyataan
sebegitu.
Kenyataan dangkal sebegini secara tidak langsung
menyerlahkan ketakutan yang amat sangat dengan suasana kebangkitan
rakyat sekarang ini yang jelas menolak Umno dan sekutunya. Malang bagi
Umno Terengganu kerana ketuanya memilih untuk kembali kepada pemikiran
30 - 40 tahun yang lalu iaitu mengugut rakyat dari menggunakan hak
mereka untuk mengundi sesiapa sahaja yang mereka kehendaki menjadi
pemimpin. Hak kebebasan rakyat telah cuba disekat dan dicabuli oleh
Umno.
Kalaulah begitu kenyataannya, maka kakitangan kerajaan
negeri dibawah pemerintahan PR juga wajib menyokong kerajaan negeri yang
sedia ada. Atau pegawai-pegawai kerajaan negeri di bawah pemerintahan
PR yang menyokong BN mesti meletak jawatan mereka sesuai dengan
pemikiran kolot Ahmad Said ini. Bukan kita ingin mengugut tetapi sebagai
menyesuaikan keadaan dengan kenyataan beliau itu.
Membangkitkan
pemberian hanya menyebabkan rakyat menjadi semakin mual. Sekali lagi
Umno cuba memperbodoh-bodohkan pemikiran rakyat yang semakin bijak
menilai apa itu demokrasi. Jika soalan itu yang dibangkitkan Umno, maka
rakyat juga boleh membangkitkan kembali soalan kepada Umno, dari mana
mereka mendapat wang bagi membiayai semua prasarana-prasarana yang telah
mereka dirikan?
Ramli hanya tahu apa yang kerajaan berikan
kepada rakyat dalam masa yang sama cuba memadamkan hakikat atau
buat-buat lupa bahawa kerajaan bergantung kepada cukai dan zakat yang
dikutip dari rakyat untuk mengurus tadbir negeri. Rakyat yang tidak
bergantung kepada kerajaan seperti yang didakwa oleh Ramli adalah rakyat
yang bijak kerana mereka tahu yang mereka sepatutnya hanya bergantung
kepada Allah.
Saya menyeru kepada seluruh rakyat di luar sana
terutama penyokong-penyokong Umno agar melihat dengan mata hati perangai
dan pemikiran pemimpin-pemimpin Umno ini. Bagi mereka semakin rakyat
bodoh, semakin mudah bagi mereka untuk berbuat sesuka hati mereka. Tiada
persoalan atas apa jua perlakuan mereka. Siapa yang melawan akan
diugut, dikenakan tindakan, memotong bantuan dan sebagainya. Bagaikan
khazanah kerajaan yang sebenarnya hasil duit kutipan dari rakyat itu
kepunyaan atau milik mutlak keluarga mereka. Maaf, kita bukan lagi
dizaman sebegitu.
Kerana itulah mereka sangat takut dengan rakyat
yang cerdik kerana rakyat akan mempersoalkan ke mana perginya wang
mereka. Kalau di Britain, kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya
menggunakan wang rakyat kerana mereka tahu bahawa rakyat mereka cerdik
dan tidak mudah ditipu. Malah mereka menamakan “Wang Pembayar Cukai”
sebagai ganti istilah “Wang Kerajaan” sepertimana yang digunapakai di
Malaysia ini.
Oleh itu bangunlah rakyat sekelian jangan kita
berterus-terusan diperbodohkan oleh Umno. Marilah kita bersama PAS dan
Pakatan Rakyat untuk membangun Negara Berkebajikan dari rakyat untuk
rakyat insyaAllah - http://dunbpayong.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan