Jumaat, 15 Jun 2012

Awang Adek dicabar ke Mekah jika PRU musim haji

Harakahdaily,
KUANTAN: Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin (gambar kanan) dicabar menunaikan haji kalau pilihan raya diadakan serentak dengan musim haji tahun ini.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Haji Suhaimi Saad (gambar kiri) berkata, Awang yang juga Timbalan Menteri Kewangan kena buktikan beliau lebih pentingkan haji dari politik dengan berbuat demikian.

Media hari ini melaporkan kenyataan Awang Adek yang menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta calon PAS terpilih dalam pilihan raya menangguhkan ibadah haji sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, tindakan Tuan Ibrahim itu membuktikan PAS meletakkan kepentingan politik mengatasi agama.

Awang Adek berkata, pemimpin Pas dilihat mengetepikan kepentingan agama kerana cuba menangguhkan bakal haji menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Kalau calon itu meninggal dunia tidak sempat pergi Makkah, siapa tanggung dosa? Adakah Tuan Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat nak tanggung dosa ini,”  katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Awang Adek juga berkata, agama mewajibkan orang Islam berkemampuan dari segi kesihatan dan kewangan menjalani ibadat haji, sekali gus PAS tidak berhak menangguhkan bakal haji menunaikan  rukun Islam kelima itu.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim meminta calon PAS, wakil calon dan pengarah pilihan raya PAS menangguhkan pemergian mereka ke Mekah jika pilihan raya diadakan pada musim haji.

Ramai berpendapat, isu ini tidak berbangkit jika Perdana Menteri tidak menjadikan pilihan raya kali ini di musim haji sebagaimana pilihan raya pada tahun 2006 dahulu yang diadakan pada musim haji.

Ketika itu, ramai umat Islam terlepas peluang mengundi kerana tindakan kerajaan BN mengadakan pilihan raya di musim haji itu.

Tiada ulasan: