Ahad, 3 Jun 2012

Annuar terus 'serang', mahu FAM berubah

Noor Hafiza Che Abdulah

Annuar-Musa
Annuar Musa
 
 
TIMBALAN Presiden Persatuan bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, yang kini digantung dua setengah tahun, meneruskan 'serangan' dengan mendakwa, mustahil dunia bola sepak tempatan tiada kemajuan berdasarkan sumbangan dan tajaan tahunan bernilai RM50 juta diperoleh oleh badan induk itu.

"Hampir RM50 juta setahun sumbangan kerajaan diberikan kepada persatuan FAM, terlalu banyak prasarana yang berkualiti di Malaysia.

"Mustahil dunia bola sepak kita tidak boleh maju atau adakah kita benar-benar mahu melihat dunia bola sepak Malaysia maju?" soal Annuar dalam reaksinya yang dipetik dari laman sosial Facebooknya.

Kenyataan Annuar berikutan kegagalan anak didik Datuk K. Rajagobal untuk melakar kemenangan apabila hanya terikat seri tanpa jaringan dalam pertemuan persahabatan dengan Filipina di Stadium Shah Alam, semalam.

Malah pada perlawanan semalam, turut menunjukkan beberapa kelemahan timbul khususnya di barisan serangan skuad Harimau Malaya.

Biarpun memiliki deretan peluang terbaik sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung, jentera serangan Harimau Malaya yang diterajui dua penggempur berbisa, Safee Ali dan Norsahhrul Idlan Tahala gagal merobek gawang Filipina.

Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan turut mempertikaikan dimana peranan "anggota kepimpinan dalam memantau prestasi dan gerak kerja persatuan FAM?"

"Di mana 'blueprint' kita? Apa kerja pemimpin persatuan kita dan cara mereka menguruskan organisasi ini.

"Dan bagaimana cara mereka belanjakan wang tajaan yang diberikan oleh kerajaan? tambah Annuar sambil berharap persatuan FAM akan berubah demi masa depan dunia bola sepak Malaysia.

"Mereka harus berubah sekiranya mahu berjaya. Lagipun duit yang bernilai RM40 hingga 50 juta setahun bukanlah jumlah yang sedikit. Mereka haruslah menggunakan sumbangan itu dengan sebaik mungkin," kata Annuar lagi.

Tiada ulasan: