Selasa, 26 Jun 2012

Ali Hamsa: Lepaskan KSN, bertanding atas tiket BN

Aspan Alias,
Baru sehari dua menjadi Ketua Setiausaha Negara (KSN) Dr Ali Hamsa sudah bercakap politik,  sedangkan beliau adalah ketua kepada 1.4 juta perkhidmat awam yang sepatutnya tidak menyebelahi mana-mana pihak dan bekerjasama dengan sesiapa atau mana-mana parti yang dipilih rakyat. Kakitangan kerajaan merupakan pelaksana kepada apa-apa dasar yang telah digubal oleh sesiapa yang memerintah yang diberikan mandat oleh rakyat.

Dr Ali menyeru kepada semua kakitangan kerajaan supaya memberikan sokongan kepada kerajaan yang ada pada hari ini dan jangan mendengar janji-janji kosong dari pihak pembangkang. Walaupun beliau berasa berterima kasih kepada kerajaan kerana dijadikan KSN menggantikan KSN yang lama ia tidak bermakna Dr Ali boleh menafikan hasrat rakyat yang ramai yang merupakan empunya kepada negara ini.

Penjawat awam itu pun kepunyaan rakyat dan dibayar gaji mereka oleh rakyat termasuk gaji Dr Ali itu sendiri. Penjawat awam seperti Dr Ali ini nampaknya mesti melalui kursus sivik yang asas untuk memahami apakah jenis negara dan sistem yang ada yang beliau akan tadbir ini.

Malaysia tidak lagi mempunyai KSN sehebat Abdullah Ayub, Abd Kadir Shamsuddin, dan beberapa orang yang lain semasa pentadbiran Mahathir Mohamad. Dari menjadi seorang yang ‘impartial’ Ali Hamsa menjadi seorang ahli politik. Jika begitulah keadaannya maka kita layan KSN ini sebagai seorang ahli politik.

Seruan yang pertama saya jika didengari elok Ali Hamsa meletakkan jawatan dan bertanding di atas tiket BN dan berkempen ke seluruh negara untuk membuktikan yang parti pembangkang memberi janji kosong. Inilah yang menyebabkan kerajaan sekarang sudah menjadi haru biru kerana mereka bercakap tentang isu yang mereka tidak sepatutnya bercakap.

Sekarang kita lebih diyakini bahawa kita mempunyai sebab yang lebih besar kenapa BN mesti ditolak oleh rakyat kali ini. Sikap seorang penjawat awam berpangkat KSN ini amat memalukan. Mentang-mentanglah beliau melangkahi ramai penjawat awam yang lebih berkelayakkan dari beliau, beliau memilih untuk mengampu dan membodek pimpinan yang ‘incumbent’.

Kita ingatkan apabila Sidek bersara,  kita akan mendapat seorang KSN yang lebih mulia tetapi nampaknya hari demi hari kita mendapat pentadbir yang lebih keliru seperti beliau (Sidek).

Segala-galanya sudah menyimpang jauh. Pastikanlah yang PRU13 ini akan mengubah segala-galanya. Setidak-tidaknya kita akan ganti seorang KSN yang tidak seperti ini. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan: