Selasa, 26 Jun 2012

Air Asia: Kenapa Kerajaan Rela Terus Dibangangkan Tony Fernandes

Oleh zaminc
Dari hari pertama, Tony Fernandes telah memanipulasi undang undang Malaysia beserta pengamal perundangan hanya untuk kepentingannya, dan setiap kali dia mendapat apa yang dia inginkan, dia menjadi semakin angkuh dan sombong.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri telah menghentikan amalan penipuan harga yang meletakkan digit akhir ".99" yang mempengaruhi rakyat untuk berfikir bahawa sesuatu itu lebih murah dari harga sebenarnya. (beza RM7.99 berbanding RM8.00, sedangkan angka 7 diberi font yang besar dan .99 dengan font yang jauh lebih kecil - pent.). Namun Air Asia telah mengiklan tambang sebegini sepanjang masa dengan sewenang wenangnya. Tony Fernandes mempunyai 'sebab' yang sangat bijak sementara rakyat Malaysia yang menanggung kerugian.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna telah mengeluarkan garis panduan dimana semua restoran, hotel dan syarikat penerbangan perlu (baca wajib) menyenaraikan senarai harga terperinci, namun untuk lebih sedekad Air Asia mengiklankan ilusi tambang murah dengan tidak menyatakan banyak caj caj lain yang tersembunyi. Juga, berjuta ringgit duit penumpang 'dirompak' akibat pembatalan penerbangan dengan tidak memberikan apa apa pampasan. Tony Fernandes mempunyai 'sebab' yang sangat bijak sementara rakyat Malaysia yang menanggung kerugian.
Kementerian Kewangan telah membuat semakan, menilai dan memutuskan jumlah cukai lapangan terbang dan caj lapangan terbang yang perlu dibayar. Air Asia enggan membayarnya selama bertahun tahun dan dengan secara terbuka melanggar undang undang yang telah diwartakan. Tony Fernandes mempunyai 'sebab' yang sangat bijak sementara rakyat Malaysia yang menanggung kerugian.
Kementerian Pengangkutan telah menyelia dan meluluskan Pelan Induk KLIA, sebaliknya Air Asia dapat 'mengatasi' dan mendapatkan LCCT yang dibina mengikut tempat yang mereka kehendaki, sudah pastinya dengan wang pembayar cukai. Tidak lama kemudian, mereka merungut tentang lokasi yang dikatakan tidak cukup bagus. Mereka inginkan sebuah lapangan terbang dibina di Negeri Sembilan tanpa memperdulikan risiko bahaya pada kawalan udara kerana berada berdekatan dengan hub penerbangan terbesar di Malaysia. Tony Fernandes mempunyai 'sebab' yang sangat bijak sementara rakyat Malaysia yang menanggung kerugian.
Kementerian Wilayah Dan Kesejahteraan Bandar telah mengeluarkan garis panduan pembangunan KL Sentral sebagai hub laluan rel-udara, dan unit kediaman mewah bertujuan untuk menarik pasaran global. Namun Air Asia 'berjaya' menempatkan sistem pengangkutan bas tambang rendah tanpa memperdulikan bantahan oleh pemilik aset asing (pelabur), pihak ERL dan yang lain lain pihak yang telahpun mengeluarkan pelaburan yang bernilai jutaan ringgit. Tony Fernandes mempunyai 'sebab' yang sangat bijak sementara rakyat Malaysia yang menanggung kerugian.
Khidmat Penerbangan Udara Untuk Kawasan Terpencil MAS telah 'dirampas' dari rakyat Sabah dan Sarawak oleh sebuah syarikat milik swasta yang diberikan nama FAX. Syarikat ini telah memberikan beban yang tidak tergambar pada rakyat dengan sikap mementingkan diri dan amalan polisi yang sangat ketat. Tony Fernandes mempunyai 'sebab' yang sangat bijak sementara rakyat Malaysia yang menanggung kerugian.
Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) diakui telah memenangi pelbagai anugerah di seluruh dunia atas usaha mereka untuk menjadi yang terbaik di dunia dalam berbagai bidang. Tetapi malangnya di Malaysia, ia telah dibuli, diperkotak katikkan dan dirompak oleh syarikat Air Asia tahun demi tahun. Tony Fernandes mempunyai 'sebab' yang sangat bijak sementara rakyat Malaysia yang menanggung kerugian.
Malaysia Airlines (MAS) sentiasa menjadi mangsa serangan dan perlecehan oleh Tony Fernandes tanpa menghiraukan fakta bahawa MAS yang berdaftar dengan IATA dan tertakluk pada piawaian penerbangan antarabangsa, syarikat penerbangan kebangsan itu tidak boleh mengamalkan jalan pintas sebagaimana yang dilakukan oleh Air Asia. Dalam beberapa minggu, beberapa laluan MAS yang menguntungkan seperti Surabaya telah 'dikorbankan' dengan memberikan penguasaan mutlak kepada Air Asia. Tony Fernandes mempunyai 'sebab' yang sangat bijak sementara rakyat Malaysia yang menanggung kerugian.
FlyFirefly.com (FireFly)  sangat berjaya secara kewangannya, dengan menyediakan rakyat Malaysia kadar tambang mampu dan mudah diantara Semenanjung dan Malaysia Timur. Ia juga telah menjadi mangsa korban kerana dianggap menjadi ancaman kepada monopoli 'umpan tambang murah' yang menguntungkan bagi Air Asia. Tony Fernandes mempunyai 'sebab' yang sangat bijak sementara rakyat Malaysia yang menanggung kerugian.
Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd (SAE) membelanjakan jutaan ringgit untuk membina fasiliti Penyelenggaraan Pembaikan & Baik Pulih Pesawat (MRO) milik bumiputera yang pertama di Malaysia, di atas janji Air Asia untuk menggunakan khidmat mereka. Sebaliknya kemudian, Air Asia menandatangani perjanjian dengan Singapura dan ini bermakna SAE beserta MAS benar benar dipermainkan. Sejumlah besar tunai kini mengalir ke Singapura. Tony Fernandes mempunyai 'sebab' yang sangat bijak sementara rakyat Malaysia yang menanggung kerugian.
Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd telah diberikan janji yang pasti bahawa ia akan menjadi hub utama untuk Air Asia, namun setelah berjuta juta ringgit dikeluarkan oleh syarikat tersebut bagi tujuan pelaburan, akhirnya janji itu tidak ditunaikan. Tony Fernandes mempunyai 'sebab' yang sangat bijak sementara rakyat Malaysia yang menanggung kerugian.
Kerajaan Negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak dan sebagainya telah menerima berbagai bagai janji dari Air Asia namun tidak satu pun yang dikotakan. Tony Fernandes mempunyai 'sebab' yang sangat bijak sementara rakyat Malaysia yang menanggung kerugian.
Rakyat Malaysia yang patriotik telah disajikan propaganda bahawa Air Asia adalah satu kebanggaan negara. Dalam masa yang sama, Air Asia telah mengkritik dan memalukan syarikat syarikat berkaitan kerajaan yang terbaik termasuk kementerian kerajaan secara terbuka melalui serangannya dalam internet. Watak utama yang dijadikan sandaran oleh Tony Fernandes adalah seorang wanita Singapura, dan segala perbelanjaan MRO telah dialirkan ke Singapura. Sekarang, syarikat Air Asia membuka Ibupejabatnya di Indonesia dan tidak diragukan, berjuta ringgit juga akan mengalir kesana. Tony Fernandes mempunyai 'sebab' yang sangat bijak sementara rakyat Malaysia yang menanggung kerugian.
Kesemuanya ini hanyalah sebahagian kecil dari keadaan yang sebenar - untuk lebih 10 tahun rakyat Malaysia terlalu takut untuk bersuara disebabkan oleh adanya hubungan yang teguh antara kaki putar belit dan pakar manipulasi. Tony Fernandes mempunyai 'sebab' yang sangat bijak sementara rakyat Malaysia yang menanggung kerugian. Sampai bilakah ianya akan berakhir??
Nota :

Artikel diatas adalah terjemahan bebas dari artikel ZAM : Air Asia Gains, Rakyat Loses

Tiada ulasan: