Isnin, 28 Mei 2012

Rakyat bosan dengan politik cara UMNO


Oleh: Rossem 

 Memetik kata-kata penulis terkenal Indonesia, Goenawan Mohamad dalam sebuah Catatan Pinggir yang amat popular. Beliau berbicara tentang kejatuhan ketua-ketua negara di beberapa negara Arab pada tahun 2011.

Siapa yang memimpin para pemberontak yang mengempur Tripoli? Siapa yang mengkomondo ribuan orang yang menjatuhkan Mubarak dari lapangan Tahrir di Mesir, dan mengerakan demonstran yang menuntut demokrasi di jalanan kota Hamas di Syria?

Tidak ada. Belum ada. Entah! Mereka ibarat “orkes” tanpa dirigen.

Ertinya sebuah orkestra telah dengan spontan terbentuk lalu para pemainnya memainkan irama yang dapat memikat orangramai sehingga orangramai tertarik lalu mendorong mereka bergabung, akhirnya orkestra bertambah besar dan perkasa.

Demikian halnya dengan perhimpunan Bersih 3.0 kelmarin. Ratusan ribu hadir, membentuk menjadi sebuah orkestra dengan mengalun muzik yang sama, irama yang sama, rentak juga sama, dan setiap individu yang bergabung itu tidak pula bertanya; siapa pemimpin orkestra sehebat itu.

Jawapannya kerana pengabungan itu bukan atas dasar siapa yang memimpin atau siapa yang menjadi ketua, tetapi kerana masing-masing terpanggil setelah melihat di sana terdapat beberapa kepincangan dan ketidakadilan yang telah dilakukan pemerintah dalam mengurus demokrasi di negara ini.

Sedang kepincangan itu harus diperbetulkan segera, biarpun terpaksa melalui jalan raya kerana meja perundingan sudah tertutup.

Mereka datang bukan kerana Ambiga atau A. Samad Said tapi kerana tuntutan lapan perkara yang tersenarai dalam dokumen tuntutan Bersih itu bagi mereka sangat bertetapan dengan kehendak hati nurani masing-masing.

Saya bertanya salah seorang anak muda dari Kelantan, yang ditemui secara kebetulan di Kota Bharu saat akan berangkat ke Kuala Lumpur “ Untuk apa mahu menyertai Bersih 3.0 ? Terpengaruh dengan Ambiga atau siapa?. Anak muda itu menjawab “ Saya tak kenal pun Ambiga. Tapi saya mahu menyertai perhimpunan kerana tak bersetuju dengan perjalanan demokrasi di negara ini yang dilihatnya tempang.”

Seterusnya anak muda itu menghujah: Malaysia sudah 54 tahun merdeka, sepatutnya pemilihan parti politik yang akan menerajui negara dilakukan secara demokratis seperti dilakukan negara-negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi.

Contoh paling mudah, menentukan tarikh pilihanraya. Parlimen seharusnya menetapkan tarikh pilihanraya, bukannya Perdana Menteri dengan kuasa mutlak. Apa yang berlaku sekarang rakyat berteka teki bila masanya parlimen akan dibubarkan untuk membolehkan satu pilihan raya umum diadakan. Rakyat bosan dan terasa “rugi masa” dengan kondisi seperti ini.

Kedua, radio, televisyen (RTM) milik kerajaan seharusnya membenarkan parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya berkempen menerusi media elektronik seperti diamalkan negara-negara maju kerana RTM adalah milik kerajaan (Kementerian Penerangan), dimana sumber kewangannya datang dari rakyat yang membayar cukai tanpa mengira mereka itu BN atau PR.

Di negara-negara lain, bahkan pemerintah memberikan wang kepada parti-parti oposisi untuk membiayai mereka berkempen.

Sewaktu berlangsung pemilu (pilihan raya ) Indonesia beberapa tahun dulu, kebetulan saya berada di Indonesia. Terasa tak mahu keluar dari kamar hotel kerana asyik menonton acara kempen pelbagai parti yang disiarkan dilayar televisyen Republik Indonesia silih berganti. Senario seperti itu tak pernah wujud di Malaysia biarpun sudah lebih setengah abad negara mencapai kemerdekaan.

Rakyat mahukan pilihan raya yang bersih dan adil. Senarai pengundi yang meragukan dalam daftar pemilih hendaklah dibuang. Bukti -bukti yang ditunjukkan Pakatan Rakyat seperti berpuluh-puluh pengundi menggunakan alamat rumah yang sama hendaklah diambil tindakan sewajarnya oleh SPR, bukan mendiamkan diri.

Rakyat sebenarnya mahu melakukan transformasi politik untuk menyelamatkan negara daripada sebarang bentuk pengkhianatan dan penipuan.

Kerajaan yang sudah diberi mandat selama 54 tahun sudah terlalu lama membiarkan orang Melayu berada dalam kepompong hidup feudal sehingga pemikiran dan sikap merdeka dalam erti kata sebenar tidak menjadi asas dalam menentukan kepimpinan negara.

Di mata penguasa, orang Melayu dianggap sebagai pengundi yang lebih mudah dibeli dengan rasuah dan fitnah. Lantaran itu orang Melayu diberikan pelbagai suapan wang tunai oleh kerajaan, disusuli dengan pelbagai fintah melibatkan lawan politik mereka melalui media cetak, elektronik dan media baru.

Barangkali umum tidak terasa, bahawa apa yang diberikan kerajaan kepada rakyat sekarang sebenarnya berunsur rasuah, walaupun atas nama wang bantuan kepada rakyat miskin.

Sekiranya wang sedemikian dibahagi-bahagikan kepada rakyat selepas pilihan raya PRU Ke 13 nanti mungkin rakyat dapat menerimanya sebagai bentuk bantuan ikhlas kerajaan kepada rakyat, tetapi olehkerana dilakukan sekarang, sewaktu dekat pilihan raya, pemberian itu dinilai sebagai pemberian “ada udang disebalik batu”.

http://demitinta.blogspot.com

Tiada ulasan: