Ahad, 13 Mei 2012

PTPTN: IPTS biar ikut logik pasaran, bukan "logik PTPTN"

 KPRU


Gerakan BERSIH 3.0 bertemakan "428 Duduk Bantah" telah menggegarkan bumi Malaysia selepas mahasiswa mahasiswi "occupy Dataran" selama dua minggu.  Semangat dan kekuatan yang ditonjolkan oleh gerakan "Occupy Dataran" begitu kuat meskipun mereka berdepan dengan segala keganasan kumpulan tertentu dan kelampauan tindakan pihak tertentu secara berterusan.  Tuntutan mereka supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan wajar dilihat sebagai sesuatu yang mustahak, justeru Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) cuba menganalisi tuntutan tersebut dan berharap isu dasar ini tidak ditenggelamkan dalam kota yang dikuning-hijaukan.

Pemansuhan pinjaman PTPTN menjadi isu hangat, dibincang oleh rakyat, tidak kira bangsa, agama dan status.  Situasi ini bermula selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada 23 March 2012 menyatakan bahawa PTPTN akan dimansuhkan di samping pemberian pendidikan percuma kepada pelajar di peringkat pengajian peringkat tinggi jika diberi mandat sebagai kerajaan baru Persekutuan apabila Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Sekumpulan mahasiswa kemudiannya telah mengadakan demonstrasi menuntut kerajaan memberi pendidikan percuma dan memansuhkan PTPTN pada 14 April 2012.  KPRU melihat secara positif tuntutan pemansuhan PTPTN dan pemberian pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi.  Selama PTPTN dilaksanakan, Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah mendapat manfaat pada masa yang sama menyebabkan kewujudan ratusan IPTS tanpa kualiti dan daya persaingan.  Sementara itu, generasi miskin baru terlahir ekoran pelaksanaan PTPTN dan dasar lain yang "memiskinkan" rakyat terbanyak.

Kegagalan PTPTN Membentuk Generasi Miskin Baru

PTPTN beroperasi sejak penubuhannya pada tahun 1997 dengan tujuan memberi tumpuan kepada pelajar yang telah mendapat kemasukan ke universiti tempatan tetapi tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana masalah kewangan.  Sehingga 30 September 2011, sebanyak 1.87 juta pembiayaan pendidikan telah diluluskan melibatkan peruntukan sebanyak RM 41.6 bilion.

Kerajaan melaksanakan kaedah baru pembiayaan pendidikan PTPTN dengan mengenakan Ujrah sebanyak 1 peratus bagi menggantikan kaedah pinjaman sedia ada yang mengenakan kos pentadbiran 3 peratus dan 5 peratus yang dikuatkuasa pada 1 Jun 2008.  Walaupun kaedah ini dilihat sebagai memberi manfaat kepada peminjam, namun syarat kelayakan dan langkah yang rumit menyebabkan kaedah baru ini tidak dapat dinikamati oleh keseluruhan peminjam PTPTN.

Jumlah pembayaran tidak kira caj 3 peratus mahupun 1 peratus amat membebankan peminjam. Berdasarkan pengiraan jadual bayaran balik pinjaman pelajar (rujuk: PTPTN) daripada laman web PTPTN, seorang graduan yang membiayai PTPTN RM50,000, tempoh bayaran balik 60 bulan, jumlah kos pentadbiran di bawah caj 3 peratus adalah RM4,739.40. Jumlah bayaran bulan pertama adalah RM504.43.   Jika pelajar tersebut mendapat tawaran kaedah pinjaman ujrah 1 peratus, jumlah kos pentadbiran 60 bulan akan berkurang kepada RM1,542.98, tetapi jumlah bayaran bulan pertama adalah RM474.98. Jumlah ini membebankan seorang graduan yang baru mula bekerja atau golongan yang rata-rata gaji mereka sekadar RM2000 atau lebih rendah daripada RM2000 sebulan.

Jumlah pembayaran yang membebankan mengakibatkan prestasi bayaran balik pinjaman tidak memuaskan, jumlah penangguhan bayaran balik mencapai jumlah sebanyak RM460 juta sehingga 31 Disember 2010.  Dan tunggakan bayar balik daripada peminjam atau penerima biaya yang tidak memberi maklum balas mencapai jumlah sebanyak RM1,091 juta.

Di samping itu, ribuan lagi peminjam yang disenaraihitamkan oleh PTPTN lantas menghalang mereka daripada ke luar negara di bawah Seksyen 22A, Akta PTPTN 1997 dan akhirnya membawa implikasi negatif kepada anak-anak muda sehingga mereka dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara. Berdasarkan Laporan Tahunan PTPTN 2010, pada tahun 2010 seramai 76,980 peminjam telah dilarang untuk meninggalkan Malaysia, berbanding 28,347 tahun 2009 iaitu peningkatan sebanyak 48,633 peminjam atau 171.56 peratus dalam tempoh satu tahun!

76 peratus daripada 935,566 peminjam telah membayar semula pinjaman PTPTN mereka.  76 peratus ini pula hanya membayar semula sebanyak 48.8 peratus daripada jumlah sebenar pinjaman PTPTN yang patut dibayar semula.  Ini menunjukkan kelemahan pengurusan PTPTN dalam menguruskan pengutipan pembayaran semula pinjaman PTPTN.

Oleh sebab kelemahan pengurusan PTPTN, pembayaran balik kurang memuaskan.  PTPTN terpaksa meminjam dana daripada agensi lain seperti KWSP, CIMB Bank, RHB Bank, AM Bank.  Berdasarkan Laporan PTPTN tahun 2010, jumlah pinjaman daripada KWSP sehingga 31 Disember 2010 adalah sebanyak RM9.5 bilion.  KWSP merupakan pemiutang terbesar bagi PTPTN.

Seperti yang ditunjukkan, dalam tahun 2010, PTPTN telah melakukan pinjaman jangka panjang daripada CIMB Islamic Bank Berhad sebanyak RM4.5 bilion, AmIslamic Bank Berhad sebanyak RM3 bilion dan RHB Islamic Bank Berhad sebanyak RM1.5 bilion.  Ini menjadikan jumlah keseluruhan pinjaman yang dibuat daripada agensi luar sehingga akhir tahun 2010 berjumlah RM18.5 bilion.   

Pinjaman tersebut juga menunjukkan isu PTPTN bukanlah isu mahasiswa sahaja tetapi isu dasar yang melibatkan KWSP, iaitu caruman saraan pekerja di negara ini.  Sekiranya isu PTPTN tidak diselesaikan secara menyeluruh, ia akan menjejaskan struktur ekonomi negara dan kebajikan pekerja bersara pada masa depan.

Walaupun PTPTN telah mencapai tujuannya yakni memberi kemudahan kepada pelajar miskin melanjutkan pendidikan pengajianya dalam peringkat tinggi.  Namun begitu, purata gaji yang rendah membebankan graduan apabila mereka menamatkan pengajian.  Berdasarkan kajian UNICEF, purata kadar inflasi negara dari 1990 hingga 2010 adalah pada tahap 4 peratus  berbanding kadar kenaikan gaji sebanyak 2.6 peratus sahaja.  Sementara itu, menurut rangkaian berita BBC, purata gaji Malaysia hanya USD961, iaitu RM2,075 , berbanding dengan Hong Kong, di mana purata gajinya adalah USD1,545, gaji purata di Malaysia gagal mencapai tahap purata antarabangsa, iaitu USD1,480.  Ini merupakan punca utama kewujudan generasi miskin baru di negara ini.

Dalam situasi ekonomi dan peluang pekerjaan yang tidak menentu, peminjam dibeban dengan syarat dan bunga pinjaman yang akhirnya menjadikan mereka penghutang tegar untuk jangka waktu yang panjang.

Adakah Daya Persaingan IPTS Meningkat Kerana PTPTN?

Menurut kenyataan Pengerusi PTPTN Ismail Mohamed Said baru-baru ini, pemansuhan PTPTN akan menyebabkan sebanyak 434 IPTS di bawah tajaan PTPTN gulung tikar. Akibat pemansuhan PTPTN, kerajaan akan terpaksa untuk membina lebih banyak Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), lantas, memaksa semua pelajar menyambung pelajaran di IPTA dan bukannya IPTS.  Oleh yang demikian, langkah memansuhkan PTPTN akan merugikan IPTS.

Kenyataan Pengerusi PTPTN menonjolkan hakikat, iaitu sebanyak 434 IPTS daripada 600 IPTS atau 72.3 peratus IPTS di bawah Kementerian Pengajian Tinggi bergantung kepada PTPTN.  Contohnya Ketua Pegawai Eksekutif Masterskill merupakan antara penerima pendapatan tertinggi di negara ini dalam tangga ke-10, iaitu sebanyak RM8.5 juta setahun pada tahun 2010 (http://biz.sinchew-i.com/node/50679).  Semua program yang ditawarkan Masterskill mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, membolehkan pelajarnya memohon pembiayaan pendidikan menerusi PTPTN.  Perkara itu telah menggalakkan peningkatan pendaftaran pelajar di Masterskill dan hampir 95 peratus daripada pendapatannya diperoleh secara langsung daripada PTPTN di mana risiko kegagalan pengutipan bayaran adalah rendah.

Oleh yang demikian, pemansuhan PTPTN bakal membawa impak besar kepada IPTS di mana sebahagian kos besar bergantung kepada PTPTN, mengakibatkan kebanyakan IPTS yang tidak mempunyai daya saingan akan mengalami kebankrapan.  Apakah fakta ini bermakna, kebanyakan IPTS yang kononnya bersaing secara sihat menurut logik kapitalisme sebenarnya mirip dengan produk-produk "buatan Dasar Ekonomi Baru" yang banyak bergantung kepada logik rent-seeking dan bukannya logik pasaran? 

KPRU berpendapat, pemansuhan PTPTN mungkin akan menyebabkan penurunan di IPTS akan tetapi jumlah itu tidak akan mencapai tahap kritikal kerana pemansuhan PTPTNlah yang bakal melahirkan persaingan sihat dalam kalangan IPTS untuk mencapai kualiti pelajaran yang diingini bagi menarik enrolmen pelajar ke institusi pengajian mereka.  Persaingan dan bukannya pergantungan kepada PTPTN wajar dijadikan tunggak kelangsungan hayat IPTS.  Bilangan IPTS tertentu yang berdepan dengan apa yang digelar sebagai creative destruction merupakan IPTS yang selama ini bergantung kepada PTPTN tetapi berbicara tentang persaingan dan pasaran!

Menurut Laporan Kementerian Pengajian Tinggi, enrolmen untuk kursus ijazah di IPTS bagi tahun 2010 adalah seramai 62,705 orang dan 24,214 orang di IPTA.  Jumlah keseluruhan enrolmen pelajar asing pada tahun 2010 di negera ini adalah seramai 86,919 orang.  Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian telah memperkasa pelbagai usaha untuk menguatkan lagi promosi Malaysia sebagai tempat pilihan pelajar antarabangsa meneruskan pelajaran dengan mensasarkan 150,000 pelajar antarabangsa menyambung pelajaran mereka di Malaysia pada tahun 2015.

Jumlah pelajar antarabangsa yang memasuki negara untuk menyambung pelajaran adalah seramai 62,705 orang di mana pelajar negara China mencatatkan bilangan pelajar yang paling ramai iaitu 8,046 orang.  Ini diikuti dengan pelajar Iran seramai 7,009 orang dan pelajar dari negara jiran, Indonesia seramai 6,119 orang.  Angka kemasukan pelajar antarabangsa di IPTS meningkat pada tahun 2010 daripada 58,294 kepada 62,705.

Justeru, bagi memanjangkan kelangsungan hayat IPTS tanpa PTPTN, pihak IPTS haruslah membuktikan kekuatan, kualiti dan daya saingan masing-masing khususnya dalam menarik pelajar sama ada pelajar tempatan atau pelajar antarabangsa.

Di Mana Kualiti Pengajian Tinggi?

Selain daya saingan, masalah yang harus diberi perhatian adalah kualiti pendidikan tinggi yang ditawarkan, khususnya di kalangan IPTS.  Kualiti yang dinyatakan di sini merangkumi kelayakan pengajar atau pensyarah, kelengkapan kemudahan dan sebagainya.  Seperti yang sedia dimaklumkan, kewujudan PTPTN telah mondorong pertumbuhan IPTS bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan SPM terus melanjutkan pelajaran mereka di institusi pengajian tinggi.  Memandangkan IPTA hanya mampu memuatkan kemasukan pelajar yang terhad, IPTS yang ditubuhkan bagai cendawan selepas hujan, terutamanya selepas PTPTN terbuka untuk permohonan daripada penuntut di institusi pengajian tinggi swasta, menjadi pilihan alternatif bagi para pelajar.

Sekali pandang, perkembangan institusi pengajian tinggi yang ibarat bunga yang kian memekar dalam negara kita, khususnya dari segi kuantitatif, merupakan suatu senario yang menggalakkan.  Namun, dari sisi pandangan yang bertentangan, wujudnya pula institusi swasta yang ditubuhkan semata-mata untuk mengaut keuntungan dengan hanya menyediakan kursus-kursus am tanpa memenuhi piawaian profesional dan akademik.  Keadaan sebegini bukan sahaja tidak dapat memanfaatkan para pelajar, malahan membazirkan lagi pembiayaan PTPTN. 

Sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa institusi pengajian tinggi swasta adalah berorientasikan keuntungan. Kalau begitu, biar bersaing secara sihat mengikut logik pasaran dan bukannya "logik PTPTN"!

Sesungguhnya, prestasi institusi pengajian tinggi tidak dapat dikait secara langsung dengan pelaksanaan mahupun pemansuhan PTPTN; PTPTN bukan segalanya yang mendominasi mutu pendidikan dalam negara kita.  Dalam perbincangan isu tersebut, keseluruhan sistem pendidikan Malaysia harus diberi penekanan dalam aspek ini. Sistem pendidikan di negara kita adalah masih agak ketinggalan, sama ada dari segi peruntukan perbelanjaan mahupun indeks peratusan pendidikan yang diterima oleh rakyat Malaysia.

Berdasarkan Laporan UNDP, purata tahunan pendidikan yang diterima oleh rakyat Malaysia yang berumur 25 tahun dan ke atas hanya 9.5 peratus berbanding dengan negara yang lain seperti Korea Selatan (11.6 peratus), New Zealand (12.5 peratus) dan Australia (12 peratus).  Ini telah menonjolkan kenyataan bahawa Malaysia masih jauh ketinggalan daripada wawasan 2020 yang diimpikan bagi mencapai tahap negara maju menjelang tahun 2020.

Peruntukan perbelanjaan bagi Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi masing-masing mencatat RM37,280 juta dan RM12,897 juta pada tahun 2012.  Berdasarkan jadual, jumlah ini telah meningkat jika dibandingkan dengan jumlah peruntukan pada tahun 2011, iaitu sebanyak RM32,764 kepada Kementerian Pelajaran dan RM12,607 juta kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Namun, menurut laporan Human Development Report 2010 yang diterbitkan oleh UNDP, jumlah perbelanjaan awam Malaysia untuk pendidikan hanya mancapai 4.1 peratus daripada KDNK pada tahun 2008.  Peratusan ini merupakan kadar yang rendah sekali secara perbandingan dengan tahun 2000 (6 peratus) dan 2005 (7.5 peratus).  Fakta ini menunjukkan bahawa penambahan dalam peruntukan perbelanjaan untuk bidang pendidikan adalah tidak serentak dengan peningkatan KDNK.  Meskipun jumlah peruntukan tidak menjamin peningkatan mutu pendidikan yang ditawarkan, namun peruntukan yang terhad sememangnya menyekat ruang bagi segala usaha dalam penambahbaikan.  Sesungguhnya, negara kita memerlukan pertambahan bilangan IPTA yang memerlukan peruntukan kerajaan dan bukannnya pertambahan IPTS yang bergantung kepada PTPTN.

Isu Sampingan

Terdapat juga perdebatan bahawa penghapusan PTPTN akan menghentikan pembiayaan sara hidup.  Pada pendapat KPRU, penyataan sebegini tidak harus dijadikan faktor bagi menolak cadangan meniadakan skim PTPTN.  Sesungguhnya, PTPTN adalah bertujuan membiayai yuran pengajian tinggi dan bukannya bagi menanggung kos kehidupan mahasiswa mahasiswi.

Bekerja sama ada secara sepenuh masa atau hanya sebahagian masa ketika belajar merupakan amalan yang biasa di negara-negara seperti Australia, UK dan sebahagian daripada pelajar di Malaysia juga menonjolkan sifat berdikari dalam aspek ini.  Kajian telah menunjukkan bahawa hampir semua pelajar di Australia bekerja selama 30 jam seminggu bagi menanggung kos pembelajaran mereka. Tambahan pula, 9 orang pelajar universiti daripada sejumlah 10 digaji separuh masa ataupun giat mendapatkan pekerjaan.  Di UK, penuntut yang terlibat dalam pekerjaan secara separuh masa hampir mencecah 70 peratus manakala peratusan pelajar yang bekerja separuh masa di Poland pula sebanyak 90 peratus.

Penglibatan diri dalam pekerjaan sewaktu menuntut pelajaran di kolej atau universiti membolehkan para pelajar mendedahkan diri kepada alam pekerjaan sebelum mereka menjejaki ke tempat kerja secara rasmi.  Dengan ini, para pelajar bukan sahaja berpeluang mendapatkan pendapatan tambahan bagi menampung kos hidup, malah mereka dapat mengumpul pengalaman hidup yang amat berfaedah bagi melengkapi diri mereka untuk masa depan.

Namun demikian, konsep bekerja sewaktu belajar adalah tidak lazim di Malaysia.  Sehubungan dengan hal ini, banyak faktor yang boleh disentuhi, dan antara sebab yang paling ketara ialah upah yang terlalu rendah dan "budaya pergantungan".  Masalah sedemikian adalah saling mempengaruhi dan tidak dapat dinafikan bahawa ia bukanlah sesuatu yang boleh ditangani dalam masa singkat.

*Teks penuh dengan carta dan jadual boleh dibaca di KPRU.
**Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU – Political Studies for Change) merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal.  KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada rakyat Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.

Tiada ulasan: