Ahad, 27 Mei 2012

Peluang pelaburan RM20 juta terlepas kerana perhimpunan

THE MALAYSIAN ISNIDER


PUTRAJAYA– Kuala Lumpur terlepas peluang pelaburan RM20 juta selepas pelabur Korea Selatan menangguhkan hasratnya itu berikutan kekecohan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata ahli perniagaan Korea Selatan itu menemuinya sebelum perhimpunan dan menyatakan hasrat melabur di Kuala Lumpur namun menangguhkan tujuannya itu selepas melihat keganasan yang terjadi.

“Selepas Bersih, saya menghubungi beliau bertanyakan keputusannya tetapi jawapan diberi ‘tidak sekarang’ selepas melihat menerusi televisyen keadaan tidak menentu di ibu negara,” kata Raja Nong Chik kepada pemberita selepas merasmikan majlis Segmen Luar Bandar di Perhimpunaan Jutaan Belia sempena Hari Belia Negara di sini hari ini.

Beliau berkata kerugian yang ditanggung tidak termasuk yang terpaksa dialami para peniaga di ibu negara, malah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri mengeluarkan belanja RM300,000 membaiki kerosakan yang berlaku semasa perhimpunan.

Katanya, kerugian tidak termasuk kos yang terpaksa dibayar kepada Alam Flora untuk kerja pembersihan sampah yang ditinggalkan oleh ribuan penyokong Bersih.

Raja Nong Chik berkata ratusan ribu ringgit terpaksa dikeluarkan untuk membersih dan menyusun kembali kawasan yang terjejas selepas perhimpunan haram sebelum itu, Bersih 2.0, pada 2011.

Beliau menjelaskan walaupun Dataran Merdeka sebuah kawasan awam, ia merupakan tapak bersejarah dan menjadi tanggungjawab DBKL menjaga dan melindungi kawasan itu.

“Kalau hendak demonstrasi kita beri mereka tempat seperti dalam stadium. Perbuatan mereka menyalahi Akta Perhimpunan Aman sedangkan akta itu telah menetapkan tempat-tempat berhimpun yang dibolehkan,” katanya.

“Perhimpunan yang telah dibuat di kawasan terkawal seperti Stadium Bukit Jalil baru-baru ini, tidak diganggu oleh pihak berkuasa, tetapi penyokong Bersih berkeras hendak ke Dataran Merdeka sedangkan dataran tersebut adalah kepunyaan orang ramai dan pelancong,” katanya.

Raja Nong Chik berkata penyokong Bersih tidak sepatutnya memutar belitkan fakta dengan menyatakan Dataran Merdeka adalah hak rakyat dan mereka bebas berbuat apa sahaja sedangkan kebebasan itu juga milik orang ramai yang cintakan keamanan. – Bernama

Tiada ulasan: