Sabtu, 19 Mei 2012

Jika muzakarah demi kepentingan politik lebih baik dibatalkan, kata ulama Umno

 
 
KUALA LUMPUR − Ulama Muda Umno hari ini mengharapkan muzakarah yang telah pun dipersetujui oleh pemimpin Umno dan PAS tidak diadakan semata-mata demi kepentingan politik, sebaliknya digunakan sebagai pentas perbincangan permasalahan yang dialami masyarakat Islam di negara ini.

Jelas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya yang dihubungi The Malaysian Insider hari ini berkata, adalah lebih baik muzakarah tersebut dibatalkan jika ianya diadakan semata-mata demi mencapai tujuan kepentingan politik sesetengah pihak mahupun individu.

“Kita perlu bincang politik untuk memartabatkan agama, bukan bincang agama untuk martabatkan politik.

“Tujuan kami hanya untuk mencapai kata sepakat dalam agama, bukannya untuk kepentingan politik. Tapi jika muzakarah ini digunakan demi mendapatkan kepentingan politik, saya rasa lebih baik dibatalkan sahaja,” tegasnya kepada The Malaysian Insider.

Jelas Fathul Bari, pihaknya juga amat mengharapkan dapat bermuzakarah dengan kepimpinan tertinggi PAS bagi membincangkan permasalahan yang dialami oleh masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.

“Kami sangat berharap dapat bermuzakarah dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan juga Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang.

Tambahnya lagi, pihaknya juga dijangka akan turut menghantar wakil antara rakan-rakan ulama muda yang lain seperti Dr Fadlan Mohd Othman, dan Ahmad Fauzan Yahya, selain dirinya sendiri.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik laporan akhbar berkata, Umno sedia menyahut seruan PAS untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Timbalan Presiden Umno itu juga nyata agak terkejut dengan pelawaan PAS kerana perkara itu jelasnya telah dan pernah disuarakan parti itu sebelum ini, namun ditolak keras, khususnya oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kalau ikut yang lepas, Nik Aziz tak pernah setuju. Masa itu dia kata Umno tak boleh dipercayai, tapi kalau hasrat dia ikhlas, tujuan untuk kebaikan ummah, masyarakat Islam dan negara Malaysia kita tidak jadi masalah,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai kenyataan Nik Aziz bahawa parti itu sentiasa bersikap terbuka untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja termasuk Umno dan juga bersetuju untuk muzakarah itu diadakan dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata parti terbesar Melayu itu sedia menerima pelawaan tersebut kerana perkara itu telah pun disuarakan Umno sejak sekian lama atas kesedaran pentingnya umat Islam disatukan, yang kini berpecah kepada beberapa kelompok kerana perbezaan ideologi.

Memetik laporan Sinar Harian Online sebelum ini, Fathul Bari yang juga bekas Penasihat Agama Institut Jantung Negara (IJN) telah meletakkan garis panduan supaya sesi muzakarah itu mencapai objektif dalam usaha menegakkan syiar Islam.

“Topik yang hendak dibincangkan perlu jelas dan ada hala tuju, moderator kena adil dan tidak ada kecenderungan untuk dipengaruhi mana-mana pihak, tempat untuk muzakarah yang dipilih hendaklah dipersetujui bersama serta mesti menjaga adab dan etika,” katanya.

Beliau menegaskan perbincangan mesti dilaksanakan dengan ilmiah, bukan secara emosi dan sanggup menerima kebenaran yang berasaskan kepada al-Quran dan Sunnah, selari dengan petunjuk Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda.

“Perbincangan dilakukan adalah untuk menegakkan Islam, bukan untuk agenda parti atau tokoh tertentu dan kita tidak mahu perbincangan itu tidak memberi manfaat,” katanya lagi.

Tiada ulasan: