Selasa, 22 Mei 2012

Islam, Melayu dan DAP – Bahagian II

 Oleh Izmil Amri




Perkaitan DAP dan Islam bukanlah perkara yang susah sangat untuk dirungkai dan difahami sebenarnya. Tambah mudah kerana DAP ini parti sekular. Cumanya masalah berikutan momokan UMNO ini, kita sebenarnya tidak pernah teringin mahu faham apa yang sekularnya dengan DAP. Justeru Melayu yang menghampiri DAP dituduh menghampiri kekafiran dan rosak aqidahnya.

Sekular DAP ini adalah sekular pentadbiran, bukan sekular kepercayaan; demikian kata Zairil, anaknya mantan menteri UMNO, Tan Sri Khir Johari. DAP tetap tegas dengan pendiriannya untuk peluang dan hak sama rata, peluang saksama. Maka baiklah ia sekular. Cuba anda bayangkan kalau DAP ini tidak sekular, sebaliknya menuntut hak sama rata. Mau melompat sekalian umat kalau tiba-tiba DAP mengeluarkan saranan supaya semua agama mendapat ruang sama rata di televisyen.

Nasib baik DAP sekular dan tidak mengheret Tuhan ke dalam kancah sistem pentadbiran. Justeru kedangkalan jitu sesetengah makhluk yang memfitnah DAP (sebuah parti sekular yang tidak masuk campur hal urus agama) ingin mengKristiankan Malaysia melalui cadangan seorang Ahli Parlimen beragama Buddha dalam negara majoriti Islam hanyalah bahan ketawa yang akan terus dihikayatkan oleh mereka yang mabuk tapai di tengah-tengah malam.

Inilah kesan yang lahir kerana sistem pembodohan terancang UMNO. Parti Melayu tersebut dengan jayanya telah menipu kesemua kita ini dengan metode Menteri Propaganda Nazi, Joseph Goebbels, yang menyuruh supaya penipuan diulang-ulang sehingga dianggap menjadi kebenaran.

Pembodohan ini jugalah yang menyebabkan orang Melayu begitu seriau dengan perubahan, meski sudah lebih setengah abad merdeka dengan UMNO di kerusi kuasa sepanjang masa. Maka UMNO-lah aqidahnya umat Melayu sampai bila-bila? Ini indoktrinasi fasisme. Ini yang namanya assabiyah. Maka takutlah sekalian umat Melayu akan hilangnya UMNO itu, kerana hanya dengan UMNO maka boleh beroleh rahmat dan selamat serta kejayaan dunia akhirat. Eh?

Inqilabiyah

Antara Islam, Melayu dan perubahan ini, DAP menjadi kayu ukur yang baik. Kesediaan Melayu untuk menolak hegemoni UMNO dan menerima parti yang sekian lama dimomok sebagai parti Cina adalah kekalahan besar kepada UMNO. Kesediaan orang Islam untuk menerima DAP sebagai wadah perjuangan politik mesti difitnah sebagai parti komunis memperteguhkan hakikat bahawa bukan Islam cara UMNO yang menjanjikan kesejahteraan.

Sewaktu sessi soal jawab dalam Wacana anjuran Roketkini.com di Shah Alam minggu lalu, persoalan menarik yang mungkin boleh kita rungkai bersama ialah tentang keperluan orang Islam untuk menggunakan parti politik berideologi demokrat-sosial sedangkan seharusnya perubahan mestilah atas dasar aqidah dan acuan Islam. Atau secara mudahnya, dengan berteraskan saranan kekhalifahan ketimbang saluran demokrasi. Radikal bunyinya?

Saranan perubahan yang terbina dari puing-puing runtuhan ini disebut sebagai inqilabiyah. Slogan ‘inqilab’ ini turut digunakan oleh Bhagat Singh, pejuang nasionalis India yang secara mudah boleh ditafsirkan sebagai revolusi. Perubahan melalui jalan revolusi ini adalah perubahan yang romantik. Perubahan sebegini melibatkan darah dan air mata. Sungguh pun begitu, sedekad ke dalam milenia baru, perubahan dengan tumpahan air mata darah bukanlah pilihan yang bijak.

DAP menghormati sistem demokrasi, yang setakat ini walau pun dimanipulasi secara hebat oleh partai pemerintah, masih lagi merupakan sistem yang boleh digunakan untuk mengukur persetujuan rakyat bagi memberikan wakil-wakilnya amanah untuk menguruskan hal negeri. Jalur tengah yang dipilih DAP ini adalah jalur yang seboleh mungkin mencuba untuk mengelak konfrontasi dan konflik, menjadikannya sebuah partai yang bijak dan selamat.

Sungguh, ada pihak-pihak yang lebih bersemangat dan radikal demi menuntut perubahan, DAP mengambil langkah bijak untuk berpolitik dengan akal demi kemaslahatan umat terbanyak. Pendekatan begini adalah pendekatan yang menjadi saranan utama di dalam Islam sendiri, yang seringkali dilupakan politisi muslim.
Jalan hikmah yang dipilih DAP adalah pendekatan terbaik untuk memacu perubahan di dalam negara yang ibarat ais kacang; atau hiasan jubin berwarna-warni. Ibarat air batu campur kerana campuran dan gaulan segala macam benda di dalamnya bersatu pada elemen yang sama, ais. Ibarat hiasan jubin atas analogi kepingan-kepingan berwarna-warni itu membentuk suatu corak yang cantik, tetapi masih punya sempadan-sempadan antara jubin yang membuatkannya tidak mungkin mencair sekali.

Perubahan

Maka untuk mengatakan memilih DAP sebagai wadah perubahan sebagai sesuatu yang menyalahi aqidah dan adat nilai orang Melayu Islam adalah pernyataan yang salah sama sekali. Tambah-tambah kalau disebut pula ‘kerana berkawan dengan Cina’. Ini mentaliti zaman batu. Mentaliti menjaga gua masing-masing. Ini yang perlu berubah.

Adalah salah juga untuk menyatakan bahawa memberi pengiktirafan kepada DAP sebagai wakil rakyat ertinya merintis jalan menuju natijah Singapura. Ini juga mentaliti zaman batu.

Di saat ini di Singapura sedang berlangsung pilihanraya kecil bagi kawasan Hougang, yang kerusinya dikosongkan apabila wakil rakyatnya dipecat daripada pembangkang Workers’ Party atas sebab tuduhan skandal. Baru disyaki punya skandal, terus dipecat. Tak banyak cakap. Justeru sekarang berentaplah calon pemerintah PAP dengan calon Workers’ Party.

Seorang sahabat Melayu di Singapura menyebut kepada saya bahawa beliau menyokong PAP, meski PAP ini dituduh Melayu Malaysia sebagai cauvinis Cina dan abang kepada DAP. Beliau menyokong PAP kerana katanya WP tidak ada agenda Melayu. Saya tidak hairan dengan politik orang Melayu Singapura yang masih tegar berteraskan ras kerana Melayu di Singapura itu minoriti. Maka kerunsingan Melayu Singapura demi kemandiriannya adalah perlu.

Tetapi Melayu di Malaysia ini bukan minoriti. Kalau Melayu masuk DAP, bilangan Melayu tidak menurun. Melayu akan tetap beranak pinak dan melahirkan lebih ramai Melayu lagi. Malah kalau Melayu berjiwa demokrat dan berhati peluang saksama itu beramai-ramai masuk DAP, maka berubahlah wajah DAP walau prinsip, idelogi dan perjuangan tetap kekal untuk mewujudkan Malaysia untuk rakyat Malaysia.

Maka kerisauan tidak berasas ‘kalau UMNO tak berkuasa habislah Melayu’ adalah satu lagi kejayaan propaganda dan pembodohan UMNO.  Jadi kesimpulannya apa?

Takut?

Pilihan raya umum ke 13 sudah terlalu hampir. Nafasnya yang hangat sudah boleh dirasa di balik tengkuk kita semua. Orang Melayu, Islam tidak lagi wajar untuk merasa takut dengan DAP. Malah, perlukah orang Melayu yang tebal dengan semangat waja dan berani menjadi takut kepada DAP yang kadang-kadang ditertawakan sebagai parti skema, betul bendul, tak pandai rasuah?

Hanya mereka yang merelakan akalnya dibodohkan berkali-kali tanpa berusaha berfikir sendiri sahaja yang akan kata DAP ini parti komunis Cina, sambil meraikan delegasi Parti Komunis China yang dijemput UMNO pada setiap kali perhimpunan agungnya.

Oh ya…Tahukah kita bahawa di Sabah ada ramai ahli UMNO beragama Kristian? – Roketkini.com

Tiada ulasan: