Jumaat, 18 Mei 2012

DAP percaya usaha tarik Melayu masih berjalan tanpa Tunku Aziz


 
Tunku Aziz meletak jawatan sebagai timbalan pengerusi dan ahli DAP pada hari Isnin. — Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR,— Di sebalik kejutan terhadap perletakan jawatan Tunku Aziz Tunku Ibrahim, pemimpin DAP percaya pemergian beliau itu tidak akan memberikan kesan terhadap usaha mereka menarik keanggotaan daripada masyarakat Melayu.
 Ketua sayap Pemuda Sosialis DAP Anthony Loke berkata kepada The Malaysian Insider, setakat ini partinya sudah berjaya dalam usaha mereka menarik penyertaan Melayu termasuk pembentukan pemimpin daripada rumpun tersebut.

“Walaupun terdapat beberapa halangan kecil, momentum parti tidak akan terjejas, walaupun termasuk menarik anggota Melayu,” katanya yang dihubungi.

Ahli Parlimen Rasah itu menjelaskan bahawa apabila Tunku Aziz memutuskan untuk menarik diri daripada jawatan senatornya, beliau turut digantikan dengan pemimpin Melayu, Prof Dr Ariffin Omar, pensyarah berusia 63 tahun di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Kami sekarang mempunyai penyertaan Melayu yang lebih ramai. Walaupun beliau (Tunku Aziz) meninggalkan parti, penggantinya juga merupakan pemimpin Melayu yang berkebolehan.

“Dan, akan ada pemimpin Melayu lain yang muncul selepas ini,” kata Loke.

Beliau berkata barisan calon DAP untuk pilihan raya akan datang kebesaran akan mengandungi personaliti yang berkredibiliti daripada komuniti Melayu.

“Keputusan beliau amat menyedihkan ... namun kami harus menghormati keputusan beliau. Kita akan teruskan juga,” kata Loke menambah.

Zairil Khir Johari, setiausaha politik kepada Setiusaha Agung DAP, Lim Guan Eng, turut bersependapat dengan Loke, mengatakan pemergian seorang ahli tidak seharusnya memberikan kesan terhadap tujuan dan semangat parti.

“Saya tidak rasa (perletakan jawatan Tunku Aziz) akan memberikan kesan terhadap apa yang kami laksanakan. Kami akan teruskan dengan program yang dirancang.

“Jentera parti akan terus berjalan ... dan tidak akan ada bezanya. Pengambilan ahli Melayu bukan sekadar bergantung kepada satu dua pemimpin parti,” katanya.

Zairil, anak kepada Tan Sri Khir Johari, adalah merupakan generasi baru Melayu yang menyertai DAP yang majoritinya dianggotai masyarakat Cina, yang kini cuba melucutkan imej anti-Melayu melalui peningkatan keahlian masyarakat Melayunya.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham turut berkata perlantikan Ariffin merupakan contoh pengembangan pengaruh parti itu di kalangan pengundi Melayu.

“Malah kami juga mempunyai keahlian Melayu yang mahu membentuk cawangan DAP Melayu.
“Jadi, dari situ, kami bukanlah parti berasaskan Cina, atau parti komunis seperti dakwaan banyak pihak,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Namun, Ngeh turut mengharapkan Tunku Aziz akan mengkaji semula tindakan beliau keluar parti kerana kehadiran pemimpin itu akan membantu usaha untuk menyertai DAP.

“Perkara negatif yang berlaku dalam parti akan memberikan kesan terhadap pandangan masyarakat,” katanya.

Naib Pengerusi DAP, Chong Chieng Jen turut bersetuju dan menjelaskan bahawa setiap ahli dalam parti mempunyai pengaruh tersendiri di dalam komunitinya.

“Tapi kami akan terus maju, walaupun terkejut dengan keputusan beliau,” katanya, menambah terkejut kerana tidak menyangka pemimpin yang berperawakan lembut itu akan membuat keputusan drastik dengan meninggalkan parti.

DAP cuba menarik pengundi Melayu, yang menguasai 60 peratus daripada jumlah 12 juta pengundi  berdaftar, dengan merekrut pemimpin seperti Tunku Aziz.

Namun pengasas Transparency International Malaysia (TI-M), yang meninggalkan DAP Isnin lalu selepas mengkritik penganjuran Bersih 3.0, mengakui gagal menarik Melayu utuk menyertai parti itu.

Tiada ulasan: