Khamis, 3 Mei 2012

Amat keji belasah orang tiada pertahanan diri

Harakahdaily,
 

KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) menegaskan bahawa tindakan memukul dan membelasah secara melampau terhadap orang yang tiada pertahanan diri amatlah dikeji dan tidak boleh dibenarkan sama sekali.

Sehubungan itu, Presidennya, Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad mengucapkan tahniah dan syabas kepada ratusan ribu rakyat Malaysia di atas kematangan, kesungguhan dan keberanian untuk menyuarakan bantahan terhadap kelemahan sistem dan proses pilihan raya negara dalam perhimpunan “Duduk & Bantah” Bersih 3.0 pada 28 April lepas.

Katanya, kehadiran rakyat daripada pelbagai latarbelakang dan kaum tanpa mengira umur, agama, fahaman politik dan kedudukan dalam masyarakat menuntut perubahan dan mesej yang sama perlu dilihat sebagai petanda positif bahawa masa depan negara melangkaui sempadan politik kepartaian dan sistem demokrasi berparlimen semata-mata.

Tambahnya, ia menandakan ada sesuatu yang sangat tidak kena yang memerlukan perhatian dan tindakan serius.

“Rakyat dan masyarakat madani kian matang dan sedar kepentingan integriti, ketelusan dan keperkasaan menuntut kebenaran.

“Proses pilihan raya bukan sekadar proses membuang undi tetapi yang lebih penting ia merupakan proses rakyat mengamalkan hak mereka sebagai warganegara Malaysia untuk menentukan pemerintahan dan pemimpin negara yang sah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, atas dasar itu maka semua yang berkait dengan pilihan raya sama ada undang-undang, peraturan dan proses semestinya adil, benar dan menjunjung hak rakyat tersebut.

Katanya lagi, sebarang tanda-tanda kecacatan kepada proses khususnya senarai daftar pengundi, pendaftaran pengundi atau status kesahihan pengundi mestilah diatasi dengan pelan perancangan yang teliti.

“Sebarang aduan penyelewengan dan penipuan termasuk rasuah, salahguna kuasa, media berat sebelah dan politik kotor mestilah disiasat dengan bersungguh-sungguh dan dibanteras,” katanya.

Tambahnya, sebarang undang-undang dan peraturan yang bercanggah dengan semangat demokrasi dan iltizam rakyat untuk pemilihan yang bermaklumat dan sah mestilah diperbaiki dengan ruang seluasnya diberi untuk menyuarakan pendapat.

“Ikram, walau bagaimanapun, berasa kesal dengan kekasaran dan keganasan yang berlaku selepas perhimpunan telah berjalan dengan aman selama beberapa jam.

“Ikram amat bersimpati dengan mereka yang tercedera semasa perhimpunan dan perhatian rawatan terbaik amat wajar diberikan kepada mereka,” ujarnya.

Tegasnya, Ikram mengecam tindakan keganasan oleh mana-mana pihak khususnya oleh pihak berkuasa.

Justeru, katanya Ikram menggesa satu siasatan secara menyeluruh dilakukan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Menurutnya, mana-mana pihak yang terbabit dengan tindakan berkenaan perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa pengecualian.

“Dalam pada itu, Ikram amat berharap insiden ketika Bersih 3.0 tidak dijadikan alasan kepada Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandang ringan tuntutan rakyat dan Bersih,” katanya.

Beliau menambah, Ikram menggesa kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menumpu dan memberi perhatian serius kepada semua tuntutan Bersih.

“Oleh kerana sistem demokrasi dan pilihan raya menjadi tonggak kepada kestabilan negara dan rakyat, sangatlah wajar tuntutan-tuntutan tersebut diterima dan dilaksanakan sebelum Pilihan raya Umum ke-13,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: