Pemimpin Pakatan Rakyat negeri itu gemar menonjolkan diri dengan menyatakan usaha mereka memberi manfaat kepada rakyat dari segi ekonomi, kata Budiman Mohd Zohdi.
Perhimpunan Agung Umno 2011
KUALA LUMPUR: Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), program ekonomi bersepadu kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat, menjadi sasaran kritikan ketika sesi perbahasan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Wakil Selangor, Budiman Mohd Zohdi mendakwa para pemimpin Pakatan negeri itu gemar menonjolkan diri dengan menyatakan usaha mereka memberi manfaat kepada rakyat dari segi ekonomi menerusi program MES.
Tetapi sebaliknya tindakan Pakatan itu katanya, hanya untuk menutup mata rakyat berhubung segala usaha yang dilaksanakan Umno- Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu, sebelum ini.
“Dulu kerajaan Pakatan kata mereka yang pertama membawa kebaikan dan faedah dari segi ekonomi kepada rakyat. Tapi saya lihat di Selangor tiada banner 1Malaysia pun sampai ke Sabak Bernam. Mereka takut sampai ke Sabak Bernam agaknya,” katanya.
Katanya, walaupun Pakatan Rakyat Selangor menganggap Belanjawan 2012 mereka sebagai yang terbaik, namun ia tidak meliputi semua golongan masyarakat secara keseluruhannya.
Budiman mempertikai usaha kerajaan negeri Selangor memperkenalkan gaji minimum sebanyak RM1,500 yang hanya melibatkan penjawat awam yang bekerja dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sahaja.
“MES bagi gaji minimum RM1,500…..bagaimana pula dengan nasib 19,000 penjawat awam yang lain? Sedangkan mereka (kerajaan negeri) hanya beri kepada GLC sahaja. Kenapa nak bezakan di antara penjawat awam GLC dengan penjawat awam yang lain?,” soal beliau.
“Pakatan Selangor sedia geran RM300 juta. Kalau setiap rakyat diberi RM55, nilai itu sama dengan harga pergi urut kaki di rumah-rumah urut yang banyak di Selangor,” katanya dengan nada sinis.
Sementara itu, perwakilan dari Pahang Dato’ Rosni Zahari pula mahu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mana-mana GLC di negara ini dipilih dari kalangan orang Umno.
Cadangan itu katanya bagi memastikan usaha untuk meningkatkan ekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Saya cadangkan agar jawatan CEO GLC diberi kepada mereka yang berkelayakan dan CEO ini perlu dari kalangan orang Umno. Jika CEO bukan dari kalangan Umno, mereka tidak faham tentang semangat Umno untuk bantu Bumiputera,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan