Apakah sebenarnya yang tidak seimbang, tidak adil dalam pilihanraya Malaysia? Pemerintah sering memperingati rakyatnya bahawa pilihanraya kita sudah cukup adil, manakala golongan pembangkang dan organisasi sivil pula mendakwa pilihanraya kita kotor kerana pelbagai penyelewangan yang dibenarkan berlaku. Saya akan menyentuh beberapa contoh penyelewangan yang berlaku di depan mata rakyat tetapi tidak diberi apa-apa perhatian oleh media kawalan pemerintah. Tetapi, sebelum itu, saya ingin menjemput pembaca sekalian meneliti dua perkara dalam sejarah pilihanraya negara Malaysia.Perkara pertama ialah peratus jumlah undi yang diperolehi parti pemerintah - Barisan Nasional. Kedua, peratus kerusi yang dimenangi dalam Dewan Rakyat. Dengan melihat jadual di bawah, jelas kelihatan perbezaan undi yang diperolehi pemerintah dan pembangkang sebenarnya tidak sebesar yang difikirkan. Walaupun media kerajaan sering melakarkan imej bahawa keseluruhan rakyat Malaysia sebenarnya menyokong Barisan Nasional, pada hakikatnya statistik menunjukkan Barisan Nasional hanya mendapat lebih daripada 60% jumlah undi dalam empat kali pilihanraya. Lebih penting lagi, BN tidak pernah mendapat 2/3 jumlah undi dalam mana-mana pilihan raya umum yang lepas. Namun, dengan meneliti sejarah penguasaan kerusi di Dewan Rakyat, nampaknya Barisan Nasional menguasai lebih daripada 70% kerusi dalam semua pilihanraya kecuali pada tahun 1969 dan 2008 sahaja. Mengapakah situasi ini berlaku?
Tahun | Jumlah Kerusi dalam Dewan Rakyat | % Jumlah Undi BN | Kerusi BN dalam Dewan Rakyat | % Kerusi BN dalam Dewan Rakyat | % Jumlah Undi bukan-BN | Kerusi bukan-BN dalam Dewan Rakyat | % Kerusi bukan-BN dalam Dewan Rakyat |
1959 | 104 | 51.7 | 74 | 71.15 | 48.3 | 30 | 28.85 |
1964 | 104 | 58.5 | 89 | 85.58 | 41.5 | 15 | 14.42 |
1969 | 144 | 49.3 | 95 | 65.97 | 50.7 | 49 | 34.03 |
1974 | 154 | 60.7 | 135 | 87.66 | 39.3 | 19 | 12.34 |
1978 | 154 | 57.2 | 130 | 84.42 | 42.8 | 24 | 15.58 |
1982 | 154 | 60.5 | 132 | 85.71 | 39.5 | 22 | 14.29 |
1986 | 177 | 55.8 | 148 | 83.62 | 41.5 | 29 | 16.38 |
1990 | 180 | 53.4 | 127 | 70.55 | 46.6 | 53 | 29.45 |
1995 | 192 | 65.2 | 162 | 84.38 | 34.8 | 30 | 15.62 |
1999 | 193 | 56.5 | 148 | 76.68 | 43.5 | 45 | 23.32 |
2004 | 219 | 63.9 | 198 | 90.41 | 36.1 | 21 | 9.59 |
2008 | 222 | 51.4 | 140 | 62.61 | 48.6 | 82 | 36.93 |
Statistik dikumpul daripada: Trends in Malaysia: Election Assessment (ISEAS, 2000) dan Suruhanjaya Pilihan Raya.
FPTP adalah peninggalan zaman kolonial British. Di seluruh dunia, sistem ini digunapakai di negara-negara yang pernah dijajah British. Menurut organisasi Electoral Reform Society di UK, hanya terdapat tiga negara demokrasi baru (bukan jajahan British) selepas tahun 1945 yang menerimapakai FPTP. Tiga negara ini adalah Macedonia, Ukraine, dan Albania. Namun, juga dilaporkan ketiga-tiga negara ini sudah mengubah sistem mereka untuk membolehkan perwakilan yang lebih seimbang.
Di Malaysia, FPTP ditambah teruk oleh persempadanan kawasan yang tidak adil dan saiz kawasan yang berjurang besar. Contohnya, di kawasan Parlimen Kapar, terdapat 112,224 pemilih berdaftar yang boleh mengundi untuk memilih seorang Ahli Parlimen. Manakala kawasan Putrajaya yang mempunyai hanya 6,608 pemilih juga memilih seorang wakil. Maka, undi seorang pemilih di Kapar hampir 17 kali kurang nilainya jikalau dibanding nilai undi seorang pemilih di Putrajaya.
Maka, pada 16 Disember baru-baru ini di Pulau Pinang, penulis berpeluang membentangkan pendapat dan cadangan kepada Jawatankuasa Khas Parlimen yang sedang mengkaji reformasi sistem pilihanraya di Malaysia. Giliran saya datang selepas wakil-wakil Parti Gerakan dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) memberi input masing-masing.
Ketua Biro Undang-undang Baljit Singh mendakwa bahawa ayahnya yang sudah lebih tujuh tahun meninggal dunia masih disenaraikan sebagai pengundi yang berdaftar. Saya terfikir, sekiranya seorang pemimpin parti pemerintah pun tidak boleh memaklumkan kematian seorang ahli keluarga kepada SPR, apatah lagi rakyat biasa yang tentunya kurang celik dengan sistem pengurusan pilihan raya negara kita? Dengan adanya penyelarasan rutin antara Jabatan Pendaftaran Negara yang mendaftarkan kematian setiap orang dengan SPR, tentunya perkara remeh sebegini boleh dielakkan. Tetapi, apakah yang menghalang SPR daripada menjamin keutuhan daftar pemilih? Tak malu ke bila pemimpin parti sendiri mengaku ahli keluarga yang sudah mati masih layak menjadi pengundi?
Pilihan raya di Malaysia tidak mungkin adil tanpa penyiasatan yang mendalam dan menyeluruh atas ketidakadilan yang berlaku selama ini. Tidak ada gunanya memperkenalkan sistem biometrik apabila prinsip asas "satu orang, satu undi" tidak dibenarkan dalam sistem pilihanraya yang direka untuk memanfaatkan parti pemerintah.
Saya telah mencadangkan kepada Jawatankuasa tersebut supaya reformasi yang menyeluruh bermula dengan kajian untuk menggantikan FPTP dengan sistem yang lebih adil, sistem yang mengambil kira undi-undi mereka yang menyokong calon yang kalah, sistem yang menggalakkan penyertaan parti-parti kecil, organisasi sivil, wanita, golongan terpinggir, dan sistem yang membolehkan keputusan pilihanraya mencerminkan suara rakyat yang sebenar.
Adilkah sistem yang membenarkan parti pemerintah menguasai 63% kerusi parlimen dengan hanya sokongan undi daripada 51% rakyat? Adilkah bagi rakyat ditipu nilai undinya yang tidak samarata dengan nilai undi seorang penyokong parti pemerintah? Saya berharap Jawatankuasa Khas Parlimen akan berani mengemukakan cadangan-cadangan yang progresif.
*Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan