Jumaat, 23 Disember 2011

Nik Aziz nafi sokong Hasan Ali

"Sukalah dinyatakan bahawa Tuan Guru Al-Mursyidul Am PAS tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada menyokong atau tidak pendirian Dr Hasan."


PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menafikan bahawa beliau menyokong bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Menteri Besar Kelantan mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam yang memetik bahawa Menteri Besar Kelantan itu menyokong pendirian Dr Hasan.

“Sukalah dinyatakan bahawa Tuan Guru Al-Mursyidul Am PAS tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada menyokong atau tidak pendirian Dr Hasan.

“Kenyataan terakhir Tuan Guru dalam isu Hasan menyerahkan isu ini untuk dikendalikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor dan seterusnya pimpinan PAS peringkat pusat.

Rujuk PAS Selangor

“Justeru, tidak timbul isu beliau menyokong pendirian terkini Hasan,” kata kenyataan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan Ahmad Fadhli bin Shaari.

Pada minggu lalu, Nik Aziz mengingatkan anggota parti supaya merujuk pucuk pimpinan di peringkat negeri berhubung isu yang berkait di negeri itu.

Katanya tidak wajar jika anggota parti hanya mempercayai maklumat dari laporan media perdana semata-mata tanpa mendapat penjelasan daripada pimpinan di peringkat negeri terlebih dahulu.

Tiada ulasan: