Ahad, 4 Disember 2011

Kemelut sistem pengangkutan awam kian parah

Oleh RAZALI ENDUN

APABILA Perdana Menteri, bersetuju membina sistem Mass Rail Transit (MRT) di Lembah Klang, pelbagai pihak mula membicara dan mengemukakan pelan laluannhttp://www.france24.com/en/files/imagecache/aef_ct_wire_image/images/afp/photo_1292667743915-1-0.jpgya. Fokus diberikan kepadanya seolah-olah ia boleh menyelesaikan masalah pengangkutan awam yang membelenggu rakyat terutama bas yang semakin parah perkhidmatannya.


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan spontan memberi perhatian berlebihan kepada pembinaan sistem MRT sepanjang 51 km (termasuk 9.5 km bawah tanah) dari Sungai Buloh ke Kajang dengan kos berbilion-bilion ringgit.

SPAD berkerja keras bagi memasti dan menyiapkan projek mahal ini mengikut pelan dan perencanaannya. SPAD mengumumkan projek pembinaan ini meskipun Pelan Induk (Master Plan) Pengangkutan Awam yang dijanjikannya belum siap dirangka. Malah janji SPAD untuk menyiap dan mengumumkan Pelan Induk itu akhir September lalu tidak tertunai.

Tidak tahu pula bilakah pelan itu akan siap dirangka. Kalau Pelan Induk itu siap itulah satusatunya pelan pengangkutan awam yang disediakan pihak kerajaan sebagai panduan kepada pengusaha dan pihak berwajib.

Selama 54 tahun negara merdeka, belum ada suatu pun Pelan Induk, apa lagi Dasar Pengangkutan diwujudkan di negara ini.

Pembinaan MRT adalah sesuatu yang sangat signifikan dalam kecelaruan kemelut pengangkutan awam di Lembah Klang. Ia suatu daripada kaedah penyelesaian bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, di samping menawarkan suatu lagi kaedah pengangkutan awam yang pantas. Sistem ini hanya terhad di Lembah Klang, belum ada perancangan di negeri-negeri atau di daerah-daerah lain terutama di pedalaman. Mewujudkan sistem MRT bukan petanda penyelesaian kemelut pengangkutan awam akan selesai. Ia perlukan kepada banyak faktor lain untuk menyelesaikan permasalahan ini.

SPAD mengabaikan permasalahan pengusahapengusaha bas berhenti-henti yang sekian lama merayu, memohon serta meminta supaya pihak kerajaan menghulurkan bantuan agar perkhidmatan mereka dapat diteruskan. Memorandum demi memorandum dihantar, bukan sahaja kepada Pengerusi SPAD, malah kepada PM, TPM, Menteri Pengangkutan, Menteri-Menteri berkenaan serta agensi berkaitan.

Namun, ia tidak berjaya menarik perhatian pihak berwajib supaya segera mengatasi kemelut itu.

Antara cadangan dalam memo Persatuan Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA):

1. Kerajaan memberi subsidi mengikut kos satu kilometer bagi sebuah bas untuk setiap laluan perkhidmatan yang diberi.

2. Kerajaan menyediakan basbas baru mengikut spesifikasi dan kemudian menyewakan semula kepada pengusaha.

3. Menyediakan tabung pengangkutan awam bagi pengusaha mendapatkan pinjaman mudah dengan faedah yang rendah.

4. Pengusaha menyerahkan tanggungjawab perkhidmatan awam kepada Kerajaan dengan membayar pampasan kepada pengusaha.

Setakat ini SPAD mahupun kerajaan Pusat tidak memberi respons positif terhadap cadangan tersebut. Malah dalam Belanjawan 2012 tidak ada petanda positif dalam menangani masalah ini.

PMBOA mengemukakan persoalan yang sangat signifikan kepada survival mereka kepada SPAD, sama ada kerajaan Pusat mahu terus terlibat secara langsung atau tidak dalam industri ini. Walaupun SPAD menyatakan bahawa bukan dasar kerajaan untuk berkecimpung dalam industri ini, tidak ada petanda jelas bahawa penglibatan kerajaan akan berakhir.

Kebimbangan ini timbul kerana penglibatan Rapid KL dan Rapid Penang secara langsung membuktikan kerajaan akan meneruskan penglibatan mereka.

Natijahnya, Rapid menjadi pesaing hebat kepada pengusaha bas sedia ada. Sudah tentu akan timbul konflik kepentingan.

Tentu sekali kerajaan akan mendahulukan syarikat naungan mereka daripada syarikat swasta, tanpa mahu memikirkan inisiatif bagi menyelesaikan permasalahan pengusaha bas.

Rapid bukan sahaja menjadi pesaing syarikat bas sedia ada, malah menerima bantuan dan subsidi sepenuhnya terutama Kementerian Kewangan. Namun demikian, Rapid mengalami kerugian berjuta ringgit setiap bulan.

Manakala syarikat-syarikat bas terpaksa bergantung kepada daya usaha mereka tanpa subsidi (kecuali diesel) dan bergantung sepenuhnya pada kapasiti penumpang, yang semakin merudum. Itu belum diambil kira kos pengendalian serta harga alatganti yang semakin meningkat tanpa kawalan kerajaan. Tambang bas dikawal oleh kerajaan, manakala harga alat ganti tidak.

Maka terkapai-kapailah nasib pengusaha-pengusaha bas menunggu pertolongan bagaikan terlontar di tengah badai gelombang samudera luas yang belum tentu arah tuju pelayarannya. Pertolongan yang ditunggu sekian lama tidak kunjung tiba, bagaikan menunggu buah yang tidak jatuh. Syarikat bas berhenti-henti sudah tidak boleh bertahan lebih lama lagi, maka oleh kerana itu beberapa syarikat sudah gulung tikar dan berhenti beroperasi.

Hal ini bagaikan tidak membimbangkan SPAD. Malah SPAD seolah-olah tidak ambil kisah apa yang berlaku tanpa mengemukakan pelan penyelamat untuk pengusaha-pengusaha ini.

Orang ramai dibiarkan mencari sendiri kaedah pengangkutan mereka, dan tidak mustahil mereka akan membeli motosikal atau kereta untuk mengatasi masalah ini. Fenomena ini akan menyulitkan lagi SPAD dalam merangka Pelan Induk bagi sistem pengangkutan awam bersepadu.

Bagaimana pula mereka yang tidak mampu? Apakah kerajaan rela membiarkan mereka terkapaikapai menyelesaikan sendiri masalah pengangkutan awam yang menjadi tanggungjawab dan obligasi kerajaan?

Kemelut ini harus mendapat perhatian kerajaan Pusat terutama PM. Tanpa penglibatan kerajaan Pusat dengan segera, dikhuatiri kekalutan yang semakin rumit muncul tanpa diduga. Pada masa itu rakyat menjadi panik dan kerajaan dalam keadaan tertekan.

Justeru, satu pelan tindakan segera perlu dirangka secara komprehensif bagi mengatasi kemelut ini di seluruh negara.

» Penulis adalah Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) dan Presiden Persatuan Pengusaha Bas Negeri Melaka (MOOA).

Tiada ulasan: