Ahad, 4 Disember 2011

Jusoh hanya ‘test market’




BESUT - Tindakan bekas Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Idris Jusoh yang mengumumkan bahawa beliau tidak bertanding menggambarkan masalah politik dalaman Umno Terengganu yang belum reda.

Timbalan Yang DiPertua PAS Besut, Shalahuddin Jaafar (Cikgu Solah) berkata, Idris telah menjangka yang nama beliau tidak akan disokong oleh Badan Perhubungan Umno Terenggganu yang di Pengerusikan oleh Dato’ Seri Ahmad Said.

“Sebab itu beliau umum awal, dia sudah berasa nama dia takkan naik, mungkin juga beliau cuba ‘test market’ sejauh mana pemimpin Umno pusat sanggup pertahankan beliau dalam pilihanraya umum akan datang,”telah Cikgu Solah.

Beliau berkata demikian ketika memberi respons atas tindakan Idris yang mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihanraya umum ke-13 (PRU 13), yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Sebaliknya, kata Cikgu Solat, PAS Kawasan Besut, tidak ambil peduli siapa yang akan mewakili Umno dan Barisan Nasional dalam PRU-13.

Beliau yakin, dengan persiapan rapi yang telah dibuat, rakyat Besut akan menyokong PAS dalam pilihanraya akan datang itu.

“Kita (PAS Besut) tak kisah siapa yang akan bertanding kerusi DUN Jerteh atau parlimen Besut, kita telah buat persiapan awal dan hanya menunggu semboyan PRU-13 berbunyi sahaja,

“kita yakin rakyat akan kembali menyokong kita sebagaimana gelombang pada tahun 1999 dulu, rakyat Besut yang ditemui rata-rata telah bosan dengan gelagat pemimpin Umno Besut yang ada (sekarang),”jelasnya

Cikgu Solah mendakwa, rakyat Besut beralih sokongan pada pilihanraya ke-11 tahun 2004 kerana mereka tidak faham tentang ‘wang ehsan’ yang dijadikan umpan memancing undi oleh Umno/BN.

Namun kini, katanya, rakyat telah faham bahawa wang yang diagih-agihkan itu adalah wang rakyat iaitu duit kerajaan hasil royalti minyak yang dibayar oleh Petronas.

Walau bagaimana pun, beliau berkata, PAS Kawasan Besut akan meneruskan kerja-kerja mendampingi rakyat dan memberikan penerangan dari masa ke semasa supaya mereka memahami isu yang ada disekeliling mereka.

“Isu-isu perpecahan dalaman Umno, rasuah, penyelewengan dan kenaikan harga barang-barang keperluan menyebabkan rakyat Besut tidak puas hati dan kembali memberi mandat kepada PAS dalam PRU13,”katanya.

Ditambah lagi, katanya, dengan saf pemimpin baru PAS Terengganu di bawah pimpinan YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut yang dilihat semakin mendapat tempat di hati rakyat Terengganu.

Tiada ulasan: