Jumaat, 2 Disember 2011

Isu lembu, Sharizat, Umno dan kuasa media baru


Jasbant Singh

ULASAN Kritikan melulu yang diterima oleh Datuk Sharizat Abdul Jalil dan jawapan balasnya mengenai kemelut National Feedlot Corporation (NFC) dikhuatiri menenggelamkan pesanan yang jauh lebih penting untuk masa depan Umno.

NONEMesej itu disampaikan oleh Presiden Parti Datuk Seri Najib Razak sendiri, iaitu Umno harus peka kepada pemikiran baru pengundi dan menguasai media baru atau menempa tragedi pada pilihanraya umum akan datang.

Apakah dia pemikiran baru yang dimaksudkan? Apakah pula tuntutan baru pengundi yang berbeza sekarang dengan citarasa mereka sepuluh atau lima belas tahun yang lalu?

Dan, soalan cepumas – bagaimana semua ini berhubungkait dengan NFC – sebuah projek RM250 juta kerajaan yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat milik keluarga Sharizat semasa pentadbiran Tun Abdullah Badawi pada tahun 2007?

Jawapannya ialah, kebertanggungjawaban - pengembangan sumber maklumat menerusi alam siber menjadikan rakyat semakin lantang dalam menuntut kebertanggungjawaban dalam sesuatu isu yang melibatkan kepentingan nasional.

NONESkandal NFC bukan cetusan Pembangkang sungguhpun PKR yang memanjangkannya dengan melontar tuduhan salahguna wang secara bersiri sepanjang tiga minggu lalu.

Isu itu dibangkitkan oleh kerajaan sendiri – menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2010. Justeru tidak ada pihak yang harus bingkas mencadangkan Kerajaan mahu “menutup” isu berkenaan.

Susulan pendedahan-pendedahan yang melibatkan pembelian kondominium, kereta mewah dan lain-lain dengan menggunakan wang Kerajaan, isu itu diserahkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun terma “dalam siasatan” tidak cukup untuk meredakan kemarahan rakyat. Begitu juga penjelasan ringkas Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar bahawa siasatan awal mendapati tidak ada unsur pecah amanah dikesan.

azlanWalaupun Khalid bercakap dari sudut undang-undang semata-mata, pengundi di kurun 21 tidak dapat menerima jawapan sebegitu kerana secara rasional wang Kerajaan harus dan hanya boleh digunakan untuk maksud yang ianya diberikan. Dalam kes ini untuk ternakan lembu semata-mata.

Kemampuan kerajaan untuk menangani pemikiran baru pengundi-pengundi sebeginilah yang menjadi cabaran kepada Najib dalam menghadapi pilihanraya umum ke 13.

Dan cara menanganinya bukanlah secara konfrontasi tetapi dengan memahami dan menguasai media baru untuk menjelaskan pendirian Kerajaan yang disokong dengan tindakan dan langkah-langkah tegas dalam menangani sesuatu isu.

Media baru dalam bentuk blog, facebook, twitter dan lain-lain adalah capaian terbaru generasi muda dan pertengahan umur serta menjadi sumber maklumat yang mempunyai jaringan begitu luas.

azlanTidak dapat dinafikan Pembangkang telah jauh mendahului Umno dan lain-lain parti Kerajaan dalam menggunakan media baru untuk mencari kelebihan politik.

Mereka berjaya menggunakan media baru untuk menangkis pengaruh media arus perdana secara berkesan dan pada masa sama, membentuk dan menyebarkan persepsi bahawa Kerajaan yang ada sekarang adalah rasuah dan harus digantikan dengan apa cara sekali pun.

Di Malaysia hari ini amat janggal sekali untuk sebuah keluarga tidak memiliki sekurang-kurangnya sebuah komputer riba, atau telefon Blackberry mahupun I-phone. Hampir setiap orang memiliki Facebook dan akaun Twitter.

Semua ini menjadi medan pertempuran untuk meraih sokongan rakyat pada PRU ke 13 dan pilihanraya-pilihanraya akan datang.
Semua bentuk media baru ini memberikan maklumat kepada pelayar siber dalam sekelip mata. Maklumat yang dibaca menerusi skrin komputer riba atau telefon bimbit membentuk akal minda mereka semasa membuang undi.

azlanBerbalik kepada isu NFC, siapakah yang “menggoreng” Sharizat dan mahukan beliau meletak jawatan, sekaligus menolak penjelasannya bahawa beliau tidak terbabit dalam syarikat yang diuruskan oleh suami dan ahli keluarganya?

Tentunya tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas Sharizat, apabila tidak dijawab secara pantas dan berkesan, merebak bagaikan api menerusi portal-portal berita dan twitter serta facebook oleh pelbagai pihak.

Semua ini mencerna gelombang atau arus yang menuntut menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu meletak jawatan.

Anehnya tidak ada gelombang sebegitu yang menuntut Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail meletak jawatan sebagai presiden PKR kerana suaminya dibelit, malah didakwa dan dihukum atas salahlaku moral.

Jawapan kepada “kejanggalan” atau dwi-standard ini terletak kepada pihak mana yang lebih pintar menguasai media baru.

Kejanggalan ini yang dikupas oleh Najib dan terpulang kepada Umno untuk memikirkan strategi membetulkan ketidakseimbangan ini. MALAYSIA KINI


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis / penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Jasbant Singh adalah seorang wartawan dan editor yang berpengalaman luas. Pernah berkhidmat di TV3, stesen televisyen antrabangsa Al-Jazeera dan juga dengan TV Selangor.

Tiada ulasan: