Jumaat, 2 Disember 2011

Isu Kuil Akan Di Rujuk Kepada MB

Oleh Afeeqa Afeera


SHAH ALAM : Isu perobohan kuil Sri Muneswarar di Persiaran Kerjaya (Glenmarie) oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 24 November lalu akan segera dirujuk kepada pimpinan kerajaan Selangor yang diterajui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk siasatan lanjut.

Usaha itu dibuat bagi memberi kata putus kepada penganut agama Hindu di kawasan itu berhubung status dan punca sebenar kuil tersebut dirobohkan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa yang hadir meninjau kawasan tersebut berkata, isu berkenaan perlu dirujuk kepada Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar dan pihak MBSA terlebih dahulu sebelum tindakan susulan boleh diambil.

Ini kerana menurut beliau, perkara tersebut adalah serius dan sensitif memandangkan ia melibatkan kesucian institusi keagamaan masyarakat Hindu.

"Status quo ini sudah lama dan kalau boleh biarlah ia dikekalkan. Bagaimanapun, kita perlu merujuk perkara ini semula kepada Menteri Besar dan Exco untuk melakukan siasatan dan membuat keputusan yang bijak untuk masa hadapan tempat ini. Saya tidak mahu membuat sebarang keputusan kerana saya tiada kuasa."

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan mahupun kenyataan berhubung perobohan kuil itu seperti yang dilaporkan akhbar Nanban, iaitu akhbar bahasa Tamil.

Bahkan menurutnya, beliau hanya mengetahui isu perobohan kuil itu minggu lalu dan tidak pernah dimaklumkan tentang perkara berkenaan oleh mana-mana pihak.

"Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa saya akan menghantar surat untuk meminta akhbar Nanban memperbetulkan laporan mereka kerana dengan jelas mengatakan bahawa kuil ini dirobohkan atas arahan saya, sedangkan perkara ini tidak betul.

Saya hanya diberitahu tentang kejadian ini pada Jumaat lepas. Jadi saya minta Nanban membetulkan semula kenyataan tersebut atau tindakan undang-undang akan diambil."

Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar baharu-baharu ini memaklumkan bahawa kerajaan Selangor Negeri tidak mengiktiraf kuil Sri Muneswarar sebagai rumah ibadat rasmi kerana pembinaannya terletak di atas rezab jalan.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah melakukan beberapa sesi perbincangan dengan penganut hindu yang mengunakan rumah ibadat tersebut.

Bahkan tegasnya, kerajaan negeri turut menyimpan surat persetujuan daripada pengerusi kuil tersebut bahawa mereka bersetuju untuk beredar dari lokasi itu.

Jelas Dr Xavier, kerajaan negeri juga telah mengeluarkan surat kepada pengerusi kuil tersebut untuk segera berpindah dan dilarang membuat pembinaan baru.

Minggu lalu, laporan media mendakwa kerajaan negeri telah merobohkan sebahagian bangunan kuil tersebut yang dikatakan berusia 25 tahun.

Ekoran daripada kejadian itu, penganut di kawasan berkenaan mengesa kerajaan negeri supaya menjelaskan tindakan tersebut atau menghadapi protes selain meminta diberikan hak milik tanah di lokasi kuil Sri Muneswarar di Persiaran Kerjaya seluas satu ekar.

Tiada ulasan: