Ahad, 4 Disember 2011

DAP mertabatkan wanita

Oleh Lim Guan Eng


Pada hari ini negara dan negeri kita berada di ambang perubahan di mana di satu pihak kita sedang menghadapi krisis moral di peringkat kerajaan persekutuan yang bukan sahaja diselubungi gejala rasuah berleluasa, malah dicemari dengan agenda serta retorik ketuanan dan perkauman.

Pada hari ini, negara terus meruncing kerana pentadbiran yang tidak telus oleh UMNO-Barisan Nasional. Kepimpinan yang lemah oleh Perdana Menteri Najib Razak menyebabkan agenda transformasi yang dilaung-laungkan oleh kerajaan persekutuan gagal sama sekali.

Laporan Indeks Persepsi Rasuah terbaru menunjukkan Malaysia merundum lagi, kali ini di tangga ke-60 daripada tangga ke-56 tahun lepas. Ini merupakan prestasi paling teruk dalam tempoh 10 tahun.

Di satu pihak lagi, DAP dan Pakatan Rakyat menawarkan satu harapan baru kepada rakyat Malaysia, bahawa negara kita tidak perlu menuju ke arah kemerosotan seperti masa kini.

Kejayaan DAP, Pakatan di Pulau Pinang

Kita di Pulau Pinang telah membuktikan bahawa kerajaan yang cekap, amanah dan telus mampu membela kebajikan rakyat, dan bukan setakat itu, malah mampu memacu ekonomi ke paras yang lebih tinggi.

Dalam aspek ini, kita bukan bercakap kosong semata-mata; buktinya ialah 10 pencapaian nombor satu oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada 2010:

1. Pulau Pinang merupakan negeri yang meraih perlaburan yang terbesar pada 2010, RM12.2 bilion, iaitu yang paling tinggi dalam sejarah negeri.

2. Pulau Pinang dipuji sebagai negeri yang terbaik dalam pengurusan kewangan oleh Laporan Ketua Audit Negara dengan lebihan bajet RM1.13 bilion.

3. Pengurangan hutang yang paling besar antara semua negeri sebanyak 95 peratus atau RM600 juta daripada RM630 juta pada 8 Mac 2008 kepada RM30 juta pada akhir Oktober 2011.

4. Pulau Pinang telah berjaya mengurangkan kadar jenayah sebanyak 27 peratus, iaitu penurunan yang paling tinggi di Malaysia.

5. Pulau Pinang merupakan negeri pertama dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan kempen hijau, termasuk menjadi negeri pertama melarang penggunaan beg plastik yang mencemar alam.

6. Negeri tunggal yang dipuji oleh Transparency International atas usaha lawan rasuah dengan memperkenalkan tender terbuka.

7. Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang membasmi miskin tegar dan membolehkan setiap keluarga memperolehi sekurang-kurangnya RM600 sebulan dan ingin menjadi negeri pertama membasmi kemiskinan di Malaysia menjelang 2015.

8. Pulau Pinang merupakan negeri pertama melaksanakan dasar pro-kebajikan rakyat dengan memberi sumbangan RM100 setiap tahun kepada warga emas, ibu tunggal, OKU, pelajar Darjah 1 dan 4 serta Tingkatan 1 dan 4, serta bayaran one-off sebanyak RM200 kepada bayi kelahiran baru, RM1,000 kepada pelajar IPTA dan RM1,000 kepada waris-waris.

9. Pulau Pinang mencatat peningkatan bilangan penumpang udara yang tertinggi pada tahun 2010.

10.Pulau Pinang menyumbang lebih 60 peratus daripada penerimaan pelancongan perubatan di Malaysia.

Rakyat penentu, pilih yang terbaik

Sebaliknya, bila BN memberi wang, mereka tidak bagi setiap tahun macam Pakatan Rakyat. Lagi pun PR bayar daripada lebihan bajet, bukan macam Bajet BN yang berdefisit sudah 15 tahun.

Itulah sebabnya kerajaan persekutuan BN kena buat pinjaman, dan hutang negara telah pun naik sejak akhir 2007 sebanyak 71 peratus daripada RM266 bilion kepada RM456 bilion akhir tahun 2011!

Bandingkan pentadbiran bersih PR, dengan BN yang dikritik oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010, kerana lebih belanja RM3.7 bilion dan juga skandal RM250 juta “lembu dan kondo” yang melibatkan keluarga seorang Menteri Wanita.

Demi menutup kelemahan penyelewenban kewangan dalam BN, UMNO menggunakan senjata terakhir, iaitu memainkan isu perkauman dan agama terhadap DAP, penganut Kristian, masyarakat Cina dan pengundi DAP.

Itulah sebabnya kita mesti Bersihkan Malaysia demi menghalang BN memenangi kembali Pulau Pinang dan mendapat semula majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, di mana rakyat akan dipimpin oleh puak rasis yang menganggap kaum bukan Melayu sebagai warga negara kelas ketiga dan kaum Melayu pula dianggap mudah ditipu oleh mereka supaya rasuah boleh bermaharajalela.

Kegagalan mencari kelemahan kepimpinan PR yang berteraskan integriti ini menyebabkan pemimpin UMNO menggunakan senjata perkauman dan fitnah termasuk ke atas anak sekolah pemimpin PR.

Pemimpin UMNO sebenarnya pengecut kerana rela menfitnah anak 15 tahun saya mencabul kehormatan seorang gadis dan kononnya saya telah bayar RM200,000 untuk menutup kes ini.

Sungguh pun “si mangsa” yang berumur 22 tahun adalah seorang jaguh chess Hong Kong (gambar wanita ini yang tidak ada kena-menegena dengan isu tuduhan tersebut telah digunakan dalam blog untuk memfitnah) yang tak pernah jumpa anak saya atau saya, UMNO tidak lepas cuba menghancurkan anak saya dengan fitnah jahat ini.

UMNO tak tahu malu sehingga Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin boleh mainkan isu ini dalam tweetnya, “Mungkin dia roboh Kampung Buah Pala sebab nak ganti dengan Kampung Buah Dada.”

Hati-hati fitnah UMNO-BN

Dalam perhimpunan agung UMNO pula, UMNO mainkan perkauman dengan mensasarkan DAP dan cuba menakutkan rakyat bahawa DAP nak tuntut jadi Perdana Menteri sungguh pun DAP bertanding bilangan kerusi Parlimen yang paling kecil dalam PR.

Dalam pilihanraya umum 2008, DAP bertanding 47 kerusi Parlimen, PAS 66 dan PKR 97.

Macam mana sebuah parti yang hanya bertanding 47 kerusi boleh memimpin PR? Jelas ini adalah permainan perkauman bahaya untuk menimbulkan kebencian dan ketakutan ke atas DAP dan bukan Melayu.

Walau pun pada awalnya DAP dan Pakatan Rakyat dilihat sebagai tidak berpengalaman untuk mentadbir kerajaan, kejayaan kita di Pulau Pinang serta di negeri Kedah, Selangor dan Kelantan telah menunjukkan bahawa kita tidak berpengalaman tentang rasuah dan kronisme yang dibudayakan dalam parti pemerintah di peringkat kerajaan pusat.

Dalam aspek ini, wanita memainkan peranan penting untuk menggerakkan perubahan untuk Bersihkan Malaysia. Bagai seorang ibu kepada anaknya, wanita mampu memberikan harapan kepada generasi muda negara bahawa masa depan akan lebih baik kerana kita semua sanggup berusaha untuk menjamin kesejahteraan mereka.

Lihatlah, sungguh pun kaum wanita lebih bermoral dan beretika serta menjauhi diri daripada rasuah dan penyelewengan, bila mereka masuk UMNO dan BN, jadi lain pula.

Sampai seorang Ahli Parlimen UMNO Bung Mokhtar Radin yang suka menghina kaum wanita seperti tidak boleh memandu dan yang lagi kesat dan lucah sehingga tidak senonoh untuk disebut di sini, boleh menjadi hero kerana berani minta Menteri Wanita itu (yang keluarga terlibat dengan skandal “lembu dan kondo”) meletak jawatan.

DAP, kerajaan PR Pulau Pinang martabatkan wanita

Di Pulau Pinang, pemimpin wanita diberi peluang untuk berdiri sama tegak dengan pemimpin lelaki dalam menerajui tampuk pentadbiran negeri.

Kita amat bangga kerana daripada daripada 148 Yang Dipertua dan Datuk Bandar di Malaysia, hanya terdapat empat orang wanita, dan daripada mereka ini, dua adalah di Pulau Pinang, iaitu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Kita juga mempunyai Pegawai Daerah wanita yang pertama di Semenanjung Malaysia, dan wanita-wanita berkaliber sedang menjawat jawatan paling tinggi dalam badan-badan kerajaan negeri termasuk George Town World Heritage Incorporation, Penang Global Tourism dan InvestPenang.

Kita sedar bahawa wanita mampu melahirkan kecemerlangan. Justeru, kerajaan Pakatan Rakyat berani untuk meletakkan wanita di kedudukan kepimpinan yang paling tinggi.

Di samping itu, skim mikrokredit dan juga penubuhan sebuah syarikat dengan peruntukan RM1.5 juta setahun untuk mengusahakan hak saksama jantina, membuktikan rekod pentadbiran PR yang berani memartabatkan wanita di Pulau Pinang.

Perjuangan Parti adalah milik kita semua. Justeru, saya berasa amat bangga kerana saudari-saudari saya pada hari ini telah bangkit mencipta sejarah, melaksanakan kongres buat pertama kalinya. Ini menunjukkan sayap Wanita dalam DAP sudah berdikari dan mampu menentukan hala tuju sendiri.

Ini juga bermakna Parti kita akan menjadi lebih kuat kerana sayap Wanita sudah menjadi lebih kuat. Kejayaan saudari pada hari ini, sudah tentu akan menjadi inspirasi kepada Wanita DAP negeri-negeri lain, dan seterusnya menyemarakkan api perjuangan ini ke seluruh Malaysia.

Tahniah diucapkan kepada Wanita DAP Pulau Pinang kerana berjaya menganjurkan kongres yang bersejarah ini. Kongres ini bukan saja merupakan kongres Wanita DAP yang pertama di Pulau Pinang, malah merupakan kongres Wanita DAP yang julung kali dalam sejarah Parti kita.

Sekali lagi Pulau Pinang telah menonjolkan semangat “Pulau Pinang Memimpin” dalam mengorak langkah memperkukuhkan jentera Parti melalui pengupayaan sayap Wanita. Syabas kepada Ketua Wanita DAP Kebangsaan Sdri Chong Eng dan ahli EXCO Pulau Pinang Sdri Lydia Ong.

Kita berharap pada masa ini tahun hadapan, Wanita DAP di negeri-negeri lain di Malaysia juga akan berkongres.

Pada masa itu, kita akan melihat satu kebangkitan kaum wanita yang kuasanya berupaya mengubah masa depan negara kita ke arah yang lebih baik.

* Ucapan pembukaan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Kongres Wanita DAP Pulau Pinang yang pertama Di Red Rock Hotel, Pulau Pinang pada 4 Disember 2011

Tiada ulasan: