Kalau dengan sumpah laknat boleh menegakkan kebenaran, Mona Fandey pun mahu bersumpah.
Mendengarkan ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung Umno malam tadi akhirnya membuatkan saya tercari-cari kesimpulan dalam satu perkara yang disebut beliau.
Oleh kerana malam tadi sekali lagi beliau menyentuh sumpah laknat menafikan samada beliau mengenali, mengetahui atau penglibatan beliau dengan kes pembunuhan mendiang Altantuya Shariibuu, di sebuah masjid sedikit masa dahulu, jadi saya cuba mencari kesimpulan dari sumpahannya itu.
Saya percaya bahawa selain saya, tentu ramai yang masih gagal menemukan jawapan samada untuk mempercayai sumpah laknat Najib ataupun cuma sekadar sumpah sesumpah.
Bagi merumus tindakan bersumpah laknat ini, ada beberapa perkara atau latar belakang yang perlu kita ketahui dahulu.
Pertama, kita tentulah sama-sama mengetahui bahawa Najib adalah seorang yang mampu memiliki hampir segala-galanya di dunia ini dan juga seorang yang paling berkuasa dalam negara ini.
Keduanya, pembaca harus tahu, sumpah yang dibuat oleh Najib itu merupakan penafian beliau samada mengenali, mengetahui mahupun terlibat sama dalam kes pembunuhan tersebut.
Hukuman mati
Pembaca juga harus mengetahui sekiranya mana-mana tertuduh yang didakwa di mahkamah dan didapati bersalah bukan sahaja akan kehilangan segala-galanya malah akan berhadapan dengan hukuman mati.
Sekarang, cuba anda bayangkan pula, katakanlah Ali misalnya atau pun sekiranya anda mahukan lebih ‘penghayatan’ bayangkanlah diri anda sendiri menghadapi situasi seperti itu.
Jika memang betul sekalipun anda telah membunuh atau sekurang-kurangnya bersubahat, sudah tentulah anda juga sanggup bersumpah laknat jika itu dapat menyelamatkan diri anda dari berhadapan kemungkinan dihukum mati.
Mudah bukan? Tidak perlu sampai ke mahkamah, hanya cuma dengan bersumpah di dalam masjid, junjung Al-Quran sudah memadai untuk bersihkan nama dan menyelamatkan nyawa anda dari berhadapan hukuman mati.
Ini soal nyawa anda, hidup dan mati anda, jadi mengapa tidak mahu bersumpah sekiranya dapat membersihkan nama anda dan menyelamatkan nyawa anda.
Agak-agak andalah, kalaulah individu Islam yang pernah terlibat dengan kes bunuh seperti Mona Fandey, suaminya Mohd Affandi dan pembantu mereka, Juraimi diberi peluang mengangkat sumpah laknat dalam masjid sambil memegang Al-Quran.
Jika dengan cara itu dapat melepaskan mereka dari hukuman gantung sampai mati, maka saya percaya dan yakin dua ratus peratus mereka tak fikir panjang bersetuju mengangkat sumpah laknat di dalam masjid sambil menjunjung Al-Quran menafikan mereka telah membunuh seseorang.
Apa nak dihairankan sangat, malahan kalau nyawa anda boleh diselamatkan dengan hanya satu-satu syarat yang ada iaitu berlari berbogel keliling kampung pun, jangan temberanglah kata tak sanggup!
Itu cuma taraf orang-orang biasa yang kehidupan mereka kadang-kadang serba kekurangannya, jauh dari kemewahan dan kuasa pun tetap masih sayang untuk meninggalkan kehidupan di dunia ini.
Hidup mewah
Apatah lagi bagi seseorang yang kehidupannya penuh diuliti kemewahan, memiliki segala-galanya dan mempunyai kuasa pulak tu.
Sekali lagi saya nak cakap jangan temberanglah, hatta orang yang kehidupannya merempat sekalipun akan bersumpah laknat kalau berhadapan kemungkinan dihukum mati, apatah lagi bagi orang yang memiliki segala-galanya termasuk kemewahan dan kekuasaan.
Lainlah bagi Hambali @ Riduan Isamuddin atau bagi Amrozi, Mukhlas bersaudara dan Imam Samudra yang terlibat dengan pengeboman di Bali pada 2002 lalu.
Orang seperti mereka ini memiliki semangat dan iktikad yang luar biasa, mencintai kematian yang mereka yakini sebagai syuhada dan semestinya sangat jauh berbeza dengan manusia yang mencintai kehidupan duniawi ini.
Bagaimana pula dengan sumpah seseorang yang bukan sahaja dibayar malah menerima tekanan dari mana-mana pihak supaya bertindak sesuatu dan bersumpah?
Dalam hal ini, saya percaya ia banyak bergantung kepada kepercayaan atau kekuatan pegangan agamanya, keperibadiannya dan sejauh mana dia dapat diyakinkan bahawa dengan bersumpah laknat tidak akan mempengaruhi kehidupannya.
Mungkin juga ayat seperti, “alaa nanti lepas kau bersumpah laknat, kau boleh taubat la sungguh-sungguh, Tuhan itu kan maha pengampun” sesuai untuk meyakinkan seseorang untuk bersumpah laknat.
Begitulah serba sedikit analisa sumpah laknat yang saya kira bukanlah satu cara terbaik untuk seseorang menegakkan kebenaran.
Bagi manusia yang mempunyai akal tentu akan bersetuju untuk menegakkan kebenaran, adalah jauh dari memadai dengan hanya bersumpah laknat di masjid dengan menjunjung Al-Quran, tetapi haruslah ditentukan oleh mahkamah yang adil.
Sedikit sebanyak dari analisa tentang kebenaran sumpah tadi, sama-sama kita boleh menilai adakah sumpah laknat Najib itu boleh dipakai ataupun sekadar sumpah oleh sesumpah.
Akhir sekali perlu saya jelaskan, saya hanya mengajak pembaca menganalisa sejauh mana sumpah laknat Najib itu boleh dipakai.
Jauh sekali cuba mengaitkan beliau dengan mana-mana kes berprofail tinggi, sebab saya tahu beliau adalah seorang lelaki yang baik dan seorang suami yang taat…..
* Penulis merupakan seorang penulis bebas. Artikel lain beliau boleh dicapai di bedukcanang.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan