Jumaat, 19 Ogos 2011

Dr M bimbang umat Islam di M'sia berpecah tiga

MALAYSIA KINI


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, umat Islam di negara ini kini berpecah kepada tiga dan jika ia berterusan ia akan memberi peluang kepada campur tangan asing di negara ini.

Katanya tiga puak orang Islam yang ada di negara ini sebenarnya “berperang" sesama sendiri walaupun tidak menggunakan senjata seperti di beberapa negara Islam lain yang telah berpecah.

NONE"Kerana berpecah-belah kita menjadi lemah. Kita mungkin lupa 55 tahun dulu, semua orang Islam dan Melayu di negara ini berjuang untuk kemerdekaan dan (menentang) Malayan Union.

"Masa itu umat Islam memang lemah tetapi kita dapat tumpaskan Malayan Union kerana kita bersatu padu. Walaupun tiada wang ringgit dan kekuatan lain tetapi kerana bersatu kita boleh mengalah Malayan Union,” katanya pada majlis berbuka puasa di Masjid Al-Ehsan, Batu 3, Kodiang, dekat Jerlun malam semalam.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anaknya Datuk Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Ahli Parlimen Jerlun.

Dr Mahathir berkata, banyak negara Islam kini bermasalah seperti berperang sesama sendiri, berperang mempertahankan negara daripada orang asing dan berhadapan dengan masalah kebuluran.

"Inilah yang berlaku di kebanyakan negara Islam. Di negara-negara mereka, perpecahan berlaku di kalangan rakyat. Akhirnya umat Islam menjadi lemah dan orang asing ambil kesempatan kuasai orang Islam.

Bila umat Islam berpecah mereka sebenarnya tidak dapat mempertahankan negara kerana tentera dan senjata tidak mencukupi, kewangan tak kukuh. Orang asing campur tangan dan cuba jatuhkan kerajaan-kerajaan itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata hanya perpaduan yang boleh menjadi benteng untuk mempertahankan negara ini daripada campur tangan kuasa asing.

"Kalau tak bersatu, kita akan jadi seperti orang Islam di negara-negara lain. Kita kena berusaha untuk menentukan nasib orang Islam tidak jadi buruk kerana perpecahan kita,” katanya. Bernama

Tiada ulasan: