Khamis, 24 Jun 2010

"Tak boleh Jawab, Suruh Menteri Turun," MP Pakatan.


images Oleh Fazy Sahir


KUALA LUMPUR: Ekoran kegagalan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop menjawab asakan soalan ke atasnya, menyebabkan ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) mendesak agar Menteri terbabit, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien turun ke dewan memberikan penjelasan bagi menjawap setiap persoalan mereka.

"Jika Timbalan Menteri tidak beri penjelasan lebih baik tidak datang dewan… dapat jawab atau tidak? Jika tidak, sepatutnya dia kata tiada jawapan.

"Saya tahu Menteri (Hishammuddin) ada di atas, suruh dia turun," kata Azmin Ali (PKR-Gombak) yang mahu penjelasan mengenai bidang kuasa Imigresen bagi menangkap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Ia diikuti oleh Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang turut mendesak Menteri terbabit turut memberi penjelasan ekoran kegagalan Abu Seman berbuat demikian.

"Menteri mana? Lebih baik tangguhkan panggil Menteri datang. Ini menghina parlimen tiada jawapan memuaskan diterima," kata Kit Siang yang bingkas bangun menuntut penjelasan Abu Seman bagi setiap persoalan rakan seangkatannya dalam PR.

Semuanya bermula apabila Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang mahu Abu Seman memberikan penjelasan berhubung pembunuhan bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahman Hashim.

Karpal menegaskan acap kali perkara tersebut dibangkitkan di dalam dewan, namun sehingga hari masih tiada penjelasan konkrit disebalik misteri pembunuhan tersebut.

Abu Seman hanya menjawab "itu kes lama dan isu dibangkitkan merupakan isu baru maka saya tiada maklumat mengenainya buat masa ini," katanya.

Karpal menyifatkan jawapan beliau itu mengelirukan dewan di bawah perintah tetap 36(12) dan mendesak Abu Seman memberi penjelasan jelas mengenainya.

"Timbalan Menteri kelirukan dewan. Tadi dinyatakan dan didengar oleh semua termasuk Speaker iaitu anda akta ini adalah isu baru.

"Tadi Timbalan kata ia bukan isu baru. Apa yang dimaksudkan? Ia isu baru atau lama? Kenapa takut? Saya minta kamu jelaskan," tegas Karpal.

Ekoran sikap ‘membisu’ Abu Seman itu membawa kepada soalan bertubi-tubi oleh ahli parlimen PR yang lain.

Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) bangun menuntut penjelasan Abu Seman mengenai kematian 1,500 banduan yang mati dalam penjara di Malaysia.

Malah menurut Gobind ia telah dilaporkan di dalam United Nation mahupun akhbar-akhbar tempatan.

‘Isu ini penting bukan seorang dua yang mati tapi beribu-ribu. Adakah Menteri tahu? Datang kerap kali ke dewan tapi buang masa sahaja jika tidak boleh jawab," katanya.

Tiada ulasan: