Selasa, 15 Jun 2010

Sukarelawan Gaza Bertekad Dedahkan Kezaliman Zionis Israel

Oleh Suraaya Hulaimi

PENGKALAN CHEPA - Sukarelawan Yayasan Amal Malaysia, Jamaludin Alias bercadang mengelilingi seluruh Malaysia bagi memberi penerangan serta menunjukkan video kekejaman Zionis Israel yang menyerang kapal misi bantuan kemanusiaan MV Marmara yang mengorbankan 9 aktivis dan lebih 30 cedera.

Menurut Jamaludin serangan tentera Zionis ke atas kapal tersebut membabitkan lebih daripada 30 bot tentera Israel yang bertindak mengepong dan menyerang kapal MV Marmara yang membawa kira-kira 600 orang awam tanpa senjata.

"Saya akan mengelilingi Malaysia hingga ke Sabah dan Sarawak bagi penayangan rakaman video serangan biadap tentera Israel terhadap kapal MV Marmara supaya semua orang dapat melihat betapa kejamnya tentera Zionist Israel terhadap misi bantuan kemanusiaan Gaza," kata beliau di hadapan lebih dari 2,000 orang pada ceramah perdana sempena dengan mukatamar PAS ke 56 di sini Sabtu lalu.

Menurut beliau, kumpulan aktivis di atas kapal tersebut telah dimaklumkan semasa di Istanbul sebelum pulang ke tanah air bahawa terdapat perisik di dalam kapal tersebut yang sepatutnya menunjukkan gambar mangsa yang menjadi sasaran Israel termasuk seorang paderi orthodok Kristianberusia 80 tahun serta pengerusi beberapa NGO.

"Juruterbang kami dari Istanbul memberitahu bahawa dia dapat mengesan dua buah kapal selam Israel sedang mendekati kami kerana mereka lupa untuk menutup satelit di Turki.

"Kami telah disiksa selama 2 hari dan telah diikat tangan selama lebih 16 jam dan tidak diberikan makanan, pergi ke tandas atau mengerjakan sola tetapi dengan kuasa Allah kami dapat solat dengan bertayamum seadanya.

"Mereka menyerang tanpa amaran seperti lanun, kita hanya melawan mereka dengan air sahaja, mereka telah membaling dengan bom asap dan bom cahaya yang boleh mengaburkan mata semua yang ada di atas kapal, tapi dengan izin Allah juga angin kuat telah mengalihkannya.

"Sebahagian besar sahabat kami yang berada di dek 3 kapal tidak lari walaupun di tembak, malah ketua kami berpesan, jangan lari, ingat Perang Uhud, dan tidak seorang pun tentera Israel mampu naik ke kapal kami.

"Sukarelawan kami tidak dibenarkan membunuh atau mencederakan tentera Israel, kami hanya dibenarkan menolak mereka ke laut sekiranya mereka ingin menaiki kapal kami," katanya sambil mengulas tayangan video.

Jamaludin menerangkan kepada hadirin ketika tentera Israel tiba dengan helikopter yang pertama aktivis berjaya menangkap komando dan membuangnya ke laut.

"Kemudian barulah datang helikopter yang kedua menembak dengan peluru hidup dan semua kawan kami di dek pertama dan dek ke empat tewas, termasuklah seorang wartawan Indonesia yang tertembak di dada.

"Apabila doktor kita memarahi komander askar Israel mengapa yang cedera parah tidak di bawa ke hospital dengan segera, pegawai tentera itu menjawab bahawa mereka berada di lautan antarabangsa dan tidak ada negara yang boleh menerima sesiapa pun untuk di rawat. Ini menujukan betapa zalimnya mereka dan ianya telah dirakam dan akan di jadikan bukti dan saksi di mahkamah antarabangsa nanti.

"Pengalaman cemas ketika berada di dalam kapal tersebut sedikit pun tidak menakutkan kami, malah kami bersedia untuk melakukannya sekali lagi sekiranya diberi peluang.

"Kami merasa gembira kerana lebih 100 negara telah menyokong gerakan pembebasan Gaza ini dan kami akan terus memberi bantuan kepada Gaza.

"Kami ucapkan tahniah kepada pemerintah Hamas di Palestin yang tidak berjaya menerima barangan yang kami bawa daripada Israel tetapi mereka akan menerima jika sekiranya yang menyerahkan itu adalah daripada sukarelawan yang bersama dengan kami," jelas beliau lagi.

Beliau menyeru semua rakyat Malaysia bangun dan menentang kezaliman Israel kerana kiranya Zionis dibiarkan menang dunia akan kucar kacir tetapi dunia akan aman sekiranya mereka ditewaskan.

Tiada ulasan: