Rabu, 2 Jun 2010

Selangor negeri pertama perkenal indeks integriti urus tadbir

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM —Sebagaimana dijanjikan ketika Kongres Nasional Keenam PKR Ahad lalu, kerajaan negeri Selangor memperkenalkan dua dasar baru bagi memastikan pentadbiran yang bersih dan telus.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata dua dasar berkenaan iaitu Indeks Integriti Urus Tadbir Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dan Pakatan Integriti (IP) akan dijadikan kayu pengukur untuk menilai keberkesanan dan kemajuan yang dicapai Selangor setiap tahun.

“Indeks Integriti ini akan membolehkan kerajaan negeri maklum mengenai kedudukannya dari segi pentadbiran di mana rakyat Selangor boleh menilai komitmen kerajaan negeri tehadap dasar-dasarnya,” katanya.

Menteri Besar mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Langkah itu selaras dengan teguran yang dibuat oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasarnya pada kongres itu.

Khalid berkata IP pula digunakan untuk tujuan pencegahan dan membasmi rasuah khususnya dalam kontrak dan tender awam.

Beliau berkata wakil Transparency International Malaysia (TI-M) turut memberikan memberi taklimat mengenai dasar baru itu pada mesyuarat Exco hari ini.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri akan menubuhkan satu Jawantankuasa Khas bagi pelaksanaan Indeks Integriti Urus Tadbir Kerajaan Selangor dan IP.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai teguran Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kepimpinan beliau pada kongres itu Ahad lalu, Khalid berkata:

“Tidak ada, tidak ada teguran, ini biasa punya, dalam politik semua orang cakap antara satu sama lain.”

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor pada kongres yang diadakan di Kota Baru, Kelantan hujung bulan lepas menggesa Khalid supaya mengatasi masalah rasuah dan kelambatan projek pembangunan di negeri itu.

Beliau juga dilaporkan berkata Selangor perlu mempercepatkan projek bagi menjana pembangunan ekonomi.

Tiada ulasan: