Selasa, 15 Jun 2010

Rais: Kerajaan kaji turunkan caj perkhidmatan Internet

BERNAMA

SINGAPURA— Kerajaan dalam usaha melebarkan perkhidmatan jalur lebar ke seluruh negara sedang mengkaji untuk mengurangkan bayaran perkhidmatannya bagi memastikan rakyat, terutama di luar bandar mampu memiliki perkhidmatan tersebut.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata di Singapura bayaran bagi perkhidmatan internet untuk kelajuan asas 2 megabit sesaat (Mbps) adalah S$10 (kira-kira RM24) sebulan dan ini juga boleh dilakukan di Malaysia memandangkan sekolah kini dikenakan kadar RM20 sebulan untuk kelajuan yang sama.

Syarikat telekomunikasi disarankan supaya realistik dalam menetapkan kadar bayaran perkhidmatan tersebut dan sentiasa melihat apa yang negara lain capai seperti Korea, Taiwan, China, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Ini selaras dengan usaha kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RKM-10) untuk meningkatkan penembusan jalur lebar secara signifikan dengan menetapkan sasaran peningkatan penembusan jalur lebar isi rumah kepada 75 peratus menjelang akhir tahun 2015, katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri Forum peringkat Menteri Penerangan, Komunikasi dan Teknologi (ICT) ke-6 sehari di sini hari ini.

Beliau tiba di sini pagi ini untuk menghadiri forum itu bertemakan “Menghubungkan Masyarakat Menerusi ICT untuk Pembangunan Ekonomi dan Sosial” yang dirasmikan Pemangku Menteri Penerangan Komunikasi dan Kesenian Singapura Lui Tuck Yew.

Forum itu membincangkan secara tidak rasmi isu-isu mengenai ICT yang memberi kesan terhadap masyarakat dan ekonomi, diadakan sempena Pertukaran Perniagaan Media Infocomm (imbX) yang akan bermula esok di Pusat Ekspo Singapura.

Rais berkata syarikat komunikasi boleh mengenakan bayaran berbeza untuk rakyat yang mahu perkhidmatan jalur lebar asas dan mereka yang mahu perkhidmatan Internet dengan kelajuan yang lebih pantas.

Beliau berkata ini adalah antara usaha kerajaan dalam membangunkan jalur lebar di negara ini selaras dengan kemudahan asas negara, bagaimanapun usaha ini akan dilakukan cara berperingkat-peringkat mengikut kewibawaan syarikat telekomunikasi negara.

Selain keperluan merumuskan kos komunikasi talian tetap dengan talian tanpa wayar bagi mewujudkan kadar yang sesuai untuk perkhidmatan tersebut, katanya.

Rais juga berkata pada sesi forum hari ini, beliau turut mengemukakan usaha kerajaan Malaysia untuk memastikan penduduk luar bandar juga mendapat perkhidmatan jalur lebar yang sama dengan penduduk bandar yang akan dibangunkan sebagai salah satu prasarana asas negara, iaitu bekalan air, elektrik dan jalan raya, yang mendapat sambutan positif daripada peserta. —

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Tanpa Nama berkata...

jika caj perkhidmatn internet diturunkan, ia secara langsung akan menggalakkan dan memudahkan orang ramai untuk menggunakan jalur lebar. perkhidmatan internet juga dapat digunakan oleh semua orang tak kira golongan kaya ataupun miskin.

tombolo berkata...

jika caj internet diturnkan, ia akan menggalakkan lebih ramai pengguna internet di negara. harap ia akan diturunkan.