Selasa, 15 Jun 2010

Penubuhan majlis media tertangguh...

BERNAMA



Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa penubuhan Majlis Media Kebangsaan tertangguh kerana Jawatankuasa Penyelarasan Media yang diwakili pelbagai pihak masih belum membuat syor muktamad.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang (kiri) berkata ia juga disebabkan kuasa perundangan bagi media cetak terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) manakala pengawasan am di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) hari ini.

Mengenai kesediaan kerajaan meminda atau memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta menggantikannya dengan sebuah badan bebas bagi mengawal selia industri media terutamanya dengan perkembangan media alternatif, beliau berkata perkara itu terserah kepada KDN.

"Tetapi kementerian ini berpandangan bahawa kewujudan Majlis Media Kebangsaan akan dapat membantu kerajaan secara tidak langsung dalam mengawal kandungan dalam talian," katanya.


Tiada ulasan: