Khamis, 24 Jun 2010

Penjelasan IKIMfm berhubung slot ‘berbisa’

Nik Roskiman Abdul Samad


Pihak IKIMfm mengucapkan terima kasih atas beberapa pandangan yang diberikan oleh ‘Yangretibase’ sepertimana tersiar dalam akhbar online Harakahdaily.net tuan bermula Jumaat 18 Jun 2010.

Tulisan itu lebih bersifat tohmahan daripada teguran membina. Rasanya ada beberapa fakta yang kurang tepat yang disuarakan oleh pengadu yang kononnya mendakwa sudah tiada program atau slot ‘berbisa’ di IKIMfm. Untuk pengetahuan ‘Yangretibase’ program-program IKIMfm yang ‘berbisa’ sejak penjadualan baru yang bermula pada 5 April 2010 lalu agak lumayan, antaranya Al-Daurah (setiap Jumaat 5 petang), Mahligai Kasih (setiap Isnin 10 pagi), Keluarga Sakinah (setiap Isnin 5 petang), Dunia Ekonomi (setiap Isnin 2 petang), Remaja (setiap Jumaat 9.15 malam) dan banyak lagi. Kami menerima banyak maklum balas positif terhadap program-program ini dan agak pelik apabila ‘Yangretibase’ boleh terlepas pandang program-program ini.

Berhubung dengan dakwaan penyampai IKIMfm tidak menguasai bahasa Malaysia dengan baik, ianya juga tidak benar dan lebih bersifat tohmahan semata kerana semua penyampai IKIMfm telah melepasi tahap pendidikan tinggi masing-masing dan telah menghadiri pelbagai kursus bahasa dan peningkatan penguasaan bahasa dan teknik penyampaian di radio.

Walaubagaimanapun, mereka bukan pakar bahasa atau Sasterawan Negara dan sudah pasti ada kelemahan mereka tersendiri dan sesekali melakukan kesilapan yang tidak disengajakan. Proses pembelajaran merupakan suatu proses berterusan (lifelong learning) dan begitu juga kepada semua penyampai IKIMfm yang sehingga ke hari ini masih lagi terus mengikuti pelbagai kelas dan kursus yang diperlukan dari semasa ke semasa untuk memperbaiki kelemahan mereka. Ada ketikanya pakar-pakar dijemput ke IKIMfm untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

Kami di IKIMfm mengalu-alukan sebarang teguran membina kerana itu lebih menepati akhlak dan adab Islami, tetapi bukan berasaskan tohmahan dan berselindung di sebalik agenda tertentu. Wallahu a’lam.

Sekian, terima kasih.

Nik Roskiman Abdul Samad,Pengarah IKIMfm.

Tiada ulasan: