Selasa, 22 Jun 2010

Pelajar keguguran ditemui mati di sebuah resort


SINAR HARIAN ONLINE



KOTA BHARU - Seorang pelajar yang dipercayai mengalami keguguran selepas disyaki mengandung ditemui mati di beranda sebuah bilik penginapan, di Resort Pantai Cahaya Bulan (PCB), dekat sini, pagi semalam.

Pelajar berusia 17 tahun itu ditemui mati kira-kira jam 9 pagi selepas mengadu sesak nafas ketika berada dalam sebuah bilik bersama teman lelakinya berusia 18 tahun, juga seorang pelajar sekolah agama di Pasir Mas, yang baru dikenali sejak dua minggu lalu.

Kejadian disedari teman lelakinya selepas mendapati pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim 1, Pasir Mas, itu sesak nafas dan tiba-tiba pengsan dengan keadaan berlumuran darah.

Remaja lelaki terbabit kemudian bergegas memaklumkan kepada pihak pengurusan resort terbabit untuk mendapatkan bantuan selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri.

Sinar Harian difahamkan, mangsa sebelum ini dipercayai pernah dirogol dan perjumpaan bersama remaja lelaki itu adalah untuk menghilangkan tekanan yang dihadapinya setelah ibu bapanya tidak peduli dengan aduan yang dia mengandung.

Dua pelajar itu ponteng sekolah dan menunggang motosikal ke resort terbabit dan mangsa dikatakan memberikan sejumlah wang kepada remaja lelaki itu untuk menyewa sebuah bilik untuk menceritakan masalah peribadi kepada remaja lelaki itu.

Penyelia resort, Che Hajizul Che Mamat, 49, berkata, selepas mendapatkan arahan daripada pihak pengurusan, dia kemudian berlari naik ke tingkat satu untuk melihat keadaan mangsa.

"Saya terkejut apabila melihat mangsa dalam keadaan terbaring dengan berlumuran darah dan sudah tidak sedarkan diri.

"Saya kemudian memaklumkan kepada pihak pengurusan supaya menghubungi hospital dan memaklumkan kepada polis mengenai kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Pihak pengurusan resort memberitahu mangsa bersama remaja lelaki itu mendaftar masuk ke resortnya kira-kira jam 8 pagi.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Md Noor Mamat, 41, ketika ditemui berkata, anak kedua daripada enam beradik itu keluar kira-kira jam 7 pagi bersama adiknya dengan berpakaian sekolah lengkap.

Md Noor memberitahu, kejadian itu diketahui selepas dihubungi pihak sekolah dan terus bergegas ke tempat kejadian.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu kerana terkejut dengan kejadian menimpa anak keduanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Tiada ulasan: