Sabtu, 19 Jun 2010

Parti komponen BN diarah laksana tranformasi politik

BERNAMA



Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu supaya parti komponen Barisan Nasional (BN) melaksanakan transformasi politik agar selari dengan transformasi yang sedang dijalankan oleh kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri yang menyifatkan transformasi itu masih berjalan dengan perlahan berkata ia harus dilakukan dengan segera agar imej BN tidak menurun.

"Setiap parti komponen harus menguruskan parti masing-masing dengan lebih cekap dan membuat perubahan dengan cepat agar imej BN tidak menurun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Perkembar Pagoh di Muar hari ini.

Perkara tersebut ditekankan beliau semasa ucapan perasmian mesyuarat tersebut dan Mesyuarat Perwakilan MCA Pagoh di Grisek dekat Muar sebelum itu.

Muhyiddin berkata perubahan itu penting kerana ekosistem dan lanskap politik negara sudah jauh berbeza di mana rakyat kini lebih berpengetahuan dan berilmu.

Katanya, setiap kelemahan BN akan menimbulkan persepsi yang tidak baik di kalangan rakyat yang mana akan diputarbelitkan oleh pihak pembangkang untuk kepentingan politik mereka.

Transformasi tersebut, katanya, turut bermakna setiap parti komponen berjuang melangkaui kaum yang diwakili mereka.

"Sebagai contohnya Umno hendaklah berjuang bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi juga untuk orang Cina dan India," katanya.

Ditanya mengenai rancangan pihak pembangkang untuk menggempur Johor yang merupakan kubu kuat BN, Muhyiddin berkata ia bukan sesuatu yang mustahil bagi pembangkang untuk berbuat demikian.

Namun demikian, beliau percaya perkara tersebut merupakan satu ancaman yang besar terhadap BN tetapi sebagai peringatan agar setiap anggota parti komponen untuk terus bekerja keras mengikut kehendak dan keperluan rakyat.


Tiada ulasan: