Rabu, 2 Jun 2010

Palanivel: Saya tidak bersembunyi

BERNAMA



Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel, hari ini menyangkal laporan sebuah akhbar yang mendakwa beliau "menghilangkan diri secara misteri".

"Untuk pengetahuan anda, pemimpin parti saya dan pengerusi cawangan serta anggota parti tahu saya 'turun padang', bukan hanya menghadiri konvensyen negeri tetapi juga berjumpa dengan pemimpin peringkat akar umbi.

"Saya serius dalam politik. Saya telah menyatakan pendirian mengenai semua isu parti dengan jelas, termasuk kesetiaan saya kepada MIC dan presiden (Datuk Seri S Samy Vellu).

"Mengenai masalah menggesa pemimpin MIC meletak jawatan, saya turut membincangkan pendapat saya secara terbuka dengan presiden.

"Ini adalah masalah parti di mana ketelusan diperlukan berhubung beberapa isu saya telah menyatakannya secara terbuka, tetapi di mana ia perlu dirahsiakan, saya juga menghormati keputusan itu," katanya dalam blongnya hari ini.

Laporan akhbar hari ini memetik seorang pemimpin veteran yang enggan dinamakan, sebagai meminta Palanivel untuk menyatakan pendiriannya secara terbuka mengenai pelan pesaraan presiden parti.

Katanya, sikap berdiam diri Palanivel tidak elok untuk parti kerana beliau adalah orang yang akan menggantikan Samy Vellu.

Palanivel yang telah dinamakan sebagai pengganti selepas Presiden MIC berundur daripada politik pada September tahun depan berkata, beliau tidak akan berkompromi mengenai prosedur parti tetapi akan "membuat kenyataan terbuka mengenai perkara yang berkaitan umum."

Beliau berkata, pemimpin dan anggota parti telah dimaklumkan mengenai pelan dan tindakannya melalui saluran penerangan parti.

"Saya tidak pernah menjadi orang yang pergi kepada umum untuk publisiti dan mencari keuntungan daripada sesuatu krisis dan konflik. Seseorang tidak perlu sibuk menyatakan pandangan dalam akhbar.

"Saya bergerak dari satu bahagian MIC ke bahagian lain di Selangor untuk menerangkan situasi politik semasa. Semalam, saya di Puchong, sebelum itu, Gombak, dan dalam beberapa hari akan datang saya akan melawat beberapa bahagian lain," katanya.

Palanivel berkata, beliau telah menghadiri konvensyen MIC negeri dan kenyataan akhir yang dikeluarkan kepada media ialah baru-baru ini.

"Jadi apa yang kehilangan misteri itu. Kami sentiasa menyokong presiden dan menghadapi semua masalah parti bersama beliau dan untuk beliau. Bagaimanapun, sikap mendiamkan diri dan tenang adalah tugas yang sangat sukar, terutama bila anda adalah orang kedua," katanya.


Tiada ulasan: