Rabu, 2 Jun 2010

MP Parit bersemangat teruskan misi ke Gaza

THE MALAYSIAN INSIDER

IPOH — Anggota konvoi misi kemanusiaan ke Gaza masih bersemangat untuk meneruskan misi itu walaupun selepas ditimpa tragedi yang menyaksikan beberapa anggotanya terbunuh ekoran serangan komando Israel ke atas satu daripada sembilan buah kapalnya semalam.

Salah seorang peserta Malaysia, Mohd Nizar Zakaria, 41, juga meminta rakyat negara ini agar mendoakan keselamatan semua anggota misi.

Perkara itu dinyatakan beliau melalui perbualan telefon dengan isterinya Dr Yuhanis Fazlina Fazil, 36, di rumahnya di sini hari ini.

Mohd Nizar yang juga Ahli Parlimen Parit menghubungi isterinya pada pukul 5.15 petang tadi bagi memberitahu perkembangan terkini beliau yang menaiki kapal Rachel Corrie dan berada pada kedudukan kira-kira 800 batu nautika dari Semenanjung Gaza.

“Suami saya telah menelefon dan memberitahu keadaan beliau di sana. Dalam perbualan selama kira-kira lima minit itu, beliau sempat berpesan kepada orang ramai supaya tidak risau dengan keadaannya,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Taman Bandar Universiti di Seri Iskandar dekat sini.

Beliau berkata panggilan itu adalah yang ketiga dibuat suaminya sejak serangan rejim Israel ke atas kapal Mavi Marmara pagi semalam, yang menyaksikan beberapa orang terbunuh, sementara nasib 12 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal itu belum diketahui.

Dr Yuhanis berkata suaminya turut memberitahu anggota konvoi berhasrat meneruskan misi, namun mereka masih menunggu arahan daripada ibu pejabat Perdana Global Peace Organisation di Kuala Lumpur sama ada menyambung perjalanan atau sebaliknya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Parit, Mohd Khairul Shahrir, 37, berkata Umno Bahagian itu akan mengadakan majlis solat hajat dan bacaan Yassin esok bagi mendoakan keselamatan anggota misi berkenaan.

Majlis akan diadakan di Masjid Radiatul Mardiah, Parit selepas sembahyang Maghrib dan orang ramai dijemput menyertainya, kata beliau.

Tiada ulasan: