Jumaat, 18 Jun 2010

Lagi judi bola tumpas

IPOH – Hanya selang beberapa jam polis menahan dua arkitek, dipercayai bookie Piala Dunia 2010 melibatkan pertaruhan RM5 juta di ibu negara malam tadi, satu lagi sindiket sama ditumpaskan di sini.

Dalam serbuan bermula 11 malam sehingga awal pagi ini, empat lelaki ditahan kerana terlibat dalam pertaruhan kejohanan itu yang membabitkan nilai lebih RM2 juta.

Kejayaan itu menyusul hanya dua hari selepas polis menahan empat bookie di Butterworth, Pulau Pinang dan dua orang tengah di Kuching, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, serbuan di sini, dilakukan di Taman Rasi Jaya di Menglembu, Taman Ehsan di Jalan Tawas Baru, Medan Cator dan Meru Valley Golf Resort.

Katanya, dalam serbuan hasil maklumat awam dan intipan itu, polis berjaya menahan semua suspek yang berusia antara 25 dan 31 tahun serta merampas pelbagai barangan untuk perjudian.

“Barangan itu terdiri daripada lapan buah komputer termasuk dua komputer riba, mesin pencetak (dua), mesin faks (dua), mesin kira-kira, telefon bimbit dan helaian kertas tercatat nombor pertaruhan bernilai RM30,000.

“Polis percaya sindiket tersebut bergiat aktif beberapa bulan lalu semasa liga-liga bola sepak lain turut berlangsung. Sindiket itu dikesan lebih aktif ketika demam bola sepak sekarang ini.

“Kita juga ada bukti menunjukkan mereka turut terlibat dengan kegiatan judi ekor haram,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, dua beradik yang bekerja sebagai arkitek dicekup polis berhubung satu sindiket perjudian perlawanan bola sepak Piala Dunia melibatkan wang pertaruhan kira-kira RM5 juta.

Menurut Azisman, keempat-empat suspek tersebut kini ditahan reman sehingga 20 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

Sementara itu ujarnya, polis telah menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau aktiviti judi bola sepak haram sepanjang berlangsungnya Piala Dunia.

Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membanteras kegiatan terbabit.

Tiada ulasan: