Rabu, 23 Jun 2010

Kontraktor ‘ali baba’ dapat laba RM31 juta

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Di sebalik projek pembinaan Hospital Shah Alam, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua mendakwa bahawa Sunshine Fleet Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama memperoleh sebanyak RM31 juta hasil daripada amalan memberi sub-kontrak secara 'ali baba' yang membabitkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa kontraktor kelas A yang lain.

Ini kerana, beliau berkata, walaupun JKR meluluskan projek tersebut dengan nilai RM482 juta, Sunshine Fleet Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama telah menawarkan semula projek tersebut pada sub-kontraktor Isyoda Sdn. Bhd. dengan nilai yang jauh lebih kecil, iaitu RM451 juta sahaja.

“Sunshine Fleet mendapat untung bersih sebanyak RM31 juta, maka ini merupakan amalan ali baba yang jelas kerana kontraktor utama (Sunshine Fleet) hanya mendapat untung bersih sahaja, tak perlu buat kerja (pembinaan),” tegas beliau sambil menunjukkan satu dokumen eksklusif SunShine Fleet.

Dakwanya lagi, aktiviti tersebut mulai disedari apabila pihak kontraktor utama yang dimiliki oleh adik Sultan Sultan Selangor, Putri Arafiah Sultan Abdul Aziz Shah dan sub-kontraktor Isyoda dilaporkan saling menyaman antara satu sama lain disebabkan masalah peruntukan yang diperoleh adalah tidak setimpal dengan kos projek keseluruhannya.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP turut mempersoal tindakan Isyoda berjanji untuk membayar RM46 juta kepada Pengerusi Eksekutif Sunshine Fleet, Putri Arafiah sebagaimana merujuk pada suatu dokumen Sunshine, bertarikh 16 November 2007.

“Bayaran ini tidak dibayar kepada kontraktor utama (Sunshine Fleet) tetapi bayaran ini dibayar terus secara peribadi kepada Pengerusi Sunshine Fleet.

“Adakah pembayaran ini suatu komisen atau rasuah, kita minta kementerian menjawab perkara ini,” soal beliau sambil menunjukkan satu lagi dokumen eksklusif Sunshine Fleet.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor supaya menjawab sekali lagi secara jujur berhubung status sebenar pembinaan hospital tersebut.

Bagi beliau, jawapan Shaziman di Dewan Rakyat sebelum ini, kononnya projek pembinaan hospital tersebut tidak menghadapi sebarang masalah adalah tidak benar.

Menurut beliau, projek tersebut sepatutnya siap pada Ogos-September tahun ini sebenarnya telahpun terlewat sebanyak 233 hari dari waktu yang dijadualkan, bukannya terlewat hanya tiga hari dari waktu yang dijadualkan seperti yang dijelaskan oleh Shaziman.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendedahkan bahawa kerajaan telah membazirkan sebanyak RM77 juta untuk memelihara kroni-kroni tertentu di kalangan JKR dan kontraktor.

Bagi beliau, JKR sendiri wajar tidak lepas tangan kerana beliau bertanggungjawab memberikan pada kontraktor-kontraktor bermasalah terbabit.

Demi kepentingan rakyat, beliau mencadangkan kerajaan menamatkan serta merta kontrak yang diberikan kepada dua kontraktor tersebut dan melantik satu kontraktor lain yang berdisiplin dan bersih untuk menyiapkan projek tersebut.

Melihat pada kes tersebut, beliau bersama-sama Tony Phua bercadang untuk melaporkan insiden tersebut pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Pada 4 April lalu, dilaporkan Sunshine Fleet turut menghadapi tuntutan hutang bernilai RM10 juta daripada satu lagi sub-kontraktor iaitu GMH Healthcare.

Tuntutan tersebut disebabkan kegagalan Sunshine Fleet menyiapkan bangunan Hospital Shah Alam tersebut sebagaimana yang dipersetujui bersama.

Dalam suatu kenyataan, GMH Healthcare mendakwa pihaknya selaku wakil pada Sunshine Fleet diminta membayar RM10 juta bon pada JKR bagi mengambil alih projek tersebut daripada sub-kontraktor bermasalah iaitu Isyoda.

Permainan perniagaan secara ‘ali baba’ yang membabitkan banyak pihak tersebut, akhirnya dilihat merugikan rakyat sendiri.

Tiada ulasan: