Ahad, 27 Jun 2010

Khalid: Saya tidak terfikir letak jawatan MB


THE MALAYSIAN INSIDER


SHAH ALAM — Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak terfikir untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor walaupun terdapat khabar angin wujudnya pakatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ingin menyingkirkannya daripada jawatan tersebut.

“Saya tidak terfikir perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-17 Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Selangor di sini hari ini.

Abdul Khalid (gambar) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kewujudan pakatan 15 anggota Parlimen PKR yang mahu mendesak beliau berundur daripada jawatan Menteri Besar yang disandangnya sejak Mac 2008.

Mengenai 17 daripada 22 pemimpin bahagian PKR Selangor yang hadir pada mesyuarat tergempar malam semalam bagi menyatakan sokongan mereka terhadap beliau, Abdul Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor berkata:

“Ini perkara biasa, dalam persatuan atau politik mesti ada perbezaan antara kepimpinan dan biasanya satu-satu persatuan yang matang dan sudah mengalami beberapa keadaan akan cepat selesaikannya.”

Beliau bagaimanapun tidak menyertai mesyuarat selama dua jam yang diadakan di kediaman rasminya itu.

Sementara itu Naib Presiden PKR R. Sivarasa berkata tiada bukti yang menunjukkan mengenai kewujudan pakatan 15 anggota Parlimen itu dan menyifatkannya sebagai spekulasi yang dimainkan oleh pihak media.

“Ia (pakatan 15 anggota Parlimen) tidak wujud, saya kata begitu sebab saya adalah anggota Parlimen dan saya kenal rakan-rakan saya.

“Kadang-kadang dalam organisasi kita ada perbezaan sedikit dan ia akan dibincang dan diselesaikan melalui saluran sedia ada dalam parti seperti retreat dan mesyuarat Majlis Tertinggi parti esok,” katanya.

Tiada ulasan: