Rabu, 16 Jun 2010

Kekurangan barangan: Peruncit dalangnya!

Salhan K Ahmad

Lesen runcit merupakan tindakan yang perlu bagi mengawal aktiviti peruncit barangan kawalan untuk memastikan barangan berkenaan sentiasa mencukupi di pasaran, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian ketika menghadapi tekanan daripada Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia yang berhenti menjual gula, minyak masak dan tepung gandum sebagai tanda protes terhadap langkah kerajaan memperkenalkan lesen berkenaan.

B
emula hari ini, dianggarkan seramai 20,000 peruncit mula bertindak demikian kerana mendakwa, penjualan barangan berkenaan tidak banyak memberi keuntungan kepada mereka.

Ismail bagaimanapun bertegas, kaedah pelesenan yang diperkenalkan kerajaan itu mampu mengatasi masalah kekurangan barangan kawalan di pasaran, seperti masalah kekurangan gula yang dikesan berlaku di beberapa kawasan sejak April lalu.

Bercakap dalam satu wawancara eksklusif dengan Malaysiakini minggu lalu, Ismail berkata penyumbang terbesar bagi masalah kekurangan tersebut ialah tindakan pemborong dan peruncit yang menjual bekalan gula mereka kepada pengguna industri dan bukannya kepada pengguna awam.

Jual kepada kilang

"Kedai yang menjual gula untuk orang ramai ini sebahagian besar daripadanya dijual secara pasaran gelap kepada kilang kerana sesetengah kilang memerlukan gula lebih daripada kuota yang ditetapkan," katanya.

Katanya, kilang terlibat ditetapkan supaya meminta kebenaran daripada kementerian untuk mendapatkan lebih banyak gula, namun mereka lebih cenderung membeli daripada pemborong dan peruncit yang sepatutnya menjual kepada orang awam.

T
ambahnya, pengilang yang dikenakan ketetapan supaya membeli gula mengikut harga pasaran itu ialah industri yang terlibat mengeluarkan barangan berasaskan gula bagi pasaran eksport.

"Kepada awam kita tetapkan harga RM1.65. Bayangkan kalau industri tawarkan kepada dia harga RM2. Tentulah dia akan jual dengan harga RM2. Itulah yang kadang-kadang menyebabkan berlakunya kekurangan gula," katanya.

Bagaimanapun, kementerian itu tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap pemborong dan peruncit yang terlibat dengan aktiviti seperti itu.

"Pengilang tetap boleh beli (daripada penjual terlibat), sebab itu orang kata apa perlunya kawalan (harga)?

Kelemahan penguatkuasaan

"Inilah kelemahannya. (Pengilang) akan beli di pasaraya sebab sekarang ini kita kawal di peringkat kilang tetapi kita tidak boleh kawal di peringkat peruncit. Di peringkat peruncit kita tidak ada peraturan.

"Sebab itulah sekarang kita hendak kuatkuasakan dan perkenalkan untuk melesenkan peruncit ini, supaya kita boleh luluskan lesen dan sertakan dengan peraturan-peraturan," katanya.

Jelasnya lagi, sebelum ini peruncit tidak boleh dihalang daripada mengambil stok lebih daripada jumlah yang diperlukan oleh mereka.

Bentuk penguatkuasaan pula hanya terhad kepada tindakan menyorok barang ataupun keengganan peruncit menjual barangan yang sememangnya ada di dalam stok mereka,

"Sekarang ini katakan peruncit itu perlukan satu tan sahaja sebulan, tapi dia ambil sepuluh tan you tak boleh sekat dia ambil sepuluh tan.

"Tapi kalau gula itu ada sebanyak sepuluh tan -- satu tan dia jual (kepada pembeli runcit), sembilan tan dia jual kepada (pengilang), tak boleh tangkap dia sebab dia tidak sorok. Dia tetap jual, cuma dia jual kepada orang lain dan kita tidak boleh sekat jualan kepada orang lain.

"Dan kita tidak boleh minta dia beri laporan kepada kita, di mana, kepada siapa dia jual gula tersebut, contohnya, sebab kita tidak ada lesenkan mereka. Sebab itu kita hendak lesenkan mereka," katanya lagi.

Bermula 1 Julai, peruncit yang tidak mendapatkan lesen berkenaan tidak akan dibenarkan menjual tiga barang kawalan tersebut.

Tiada ulasan: