Isnin, 7 Jun 2010

Iklan Televisyen Malaysia VS Iklan Luar

Staff Berita Semasa

iklan malaysia Iklan Televisyen Malaysia VS Iklan Luar

Yang mana satu dasar sebenar-sebenarnya yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia? Dah macam yoyo pun ada undang-undang di Malaysia. Setuju? Daripada dasar harga minyak, undang-undang imigresen sehinggalah isu yang terbaru tentang isu iklan televisyen Malaysia yang sekarang dipenuhi dengan lambakan iklan luar negeri.

Semestinya meluluskan iklan luar lebih masyuk imbuhan yang diperolehi dibandingkan iklan tempatan sendiri. Setahun dua kebelakangan ini iklan-iklan televisyen Malaysia dipenuhi dengan iklan luar yang memaparkan wajah-wajah pan Asia sebagai tarikan, jadi mana identiti Malaysia yang dilaung-laungkan? Minta jawab sikit “pakar bahasa dan budaya” di Malaysia yang merangkap Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim. Sebabnya kita tidak mahu manis dan lunak di bibir sahaja, tetapi realitinya?

Sekarang ini, apa yang mahu dicari daripada iklan televisyen Malaysia? Wajah atau kretiviti iklan itu sebenarnya. Cukuplah contoh yang diberikan kepada iklan Petronas yang hanya memaparkan pelakon entah kelas yang mana satu mahu diberikan kepada mereka. Bukannya terkenal pun. Tetapi kenapa iklan sebegitu begitu dekat dengan rakyat Malaysia?

KUALA LUMPUR 6 Jun – Jika kita masih ingat pada suatu waktu dahulu, terdapat arahan daripada kerajaan untuk mengharamkan penggunaan pelakon-pelakon luar atau berwajah Pan-Asia dalam iklan-iklan di media tempatan. Tujuannya mudah sahaja iaitu untuk memberi peluang kepada industri penerbitan iklan tempatan ‘bernafas’ kerana mereka mungkin tidak mampu bersaing dengan iklan-iklan yang import.

Bagaimanapun sejak beberapa tahun lepas, perkara itu seakan dilupakan apabila kementerian bertanggungjawab mengenai iklan-iklan di televisyen Malaysia sentiasa berubah. Ia kembali menjadi seperti dahulu yang mana ‘anda bebas membuat apa sahaja’, asalkan iklan-iklan itu tidak menjejaskan moral rakyat atau mengancam keselamatan negara. Maka, berlumba-lumbalah syarikat-syarikat luar negara yang beroperasi di negara ini menggunakan iklan-iklan yang sudah pun dibuat oleh ibu pejabat mereka di luar negara.

Mereka hanya perlu menyalin kembali iklan itu dan kemudiannya menayangkannya di kaca televisyen negara ini tanpa perlu mengeluarkan sebarang modal pembikinan. Memang benarlah, ia menguntungkan syarikat-syarikat multinasional itu tetapi secara tidak sedar, industri produksi tempatan yang merasai kesannya.

Kini syarikat produksi tempatan berhadapan dengan situasi yang amat menghimpit apabila industri iklan televisyen menguncup dengan ketara daripada mencatatkan nilai pasaran RM200 juta setahun, turun sehingga RM19 juta setahun. Situasi itu berlaku kerana ‘kebebasan’ yang kembali diberikan kepada industri dan segala syarat iklan Buatan Malaysia atau Made in Malaysia (MIM) yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini dilupakan sahaja. Perkara ini berlarutan sejak 13 tahun lalu.

iklan malaysia2 Iklan Televisyen Malaysia VS Iklan Luar

Kalau ikutkan MIM ditubuhkan diwujudkan oleh Kementerian Penerangan dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) pada pertengahan 1970-an bertujuan menghalang kemerosotan nilai budaya dalam kandungan iklan-iklan dan menghalang peruntukan besar pengiklanan yang dibelanjakan ke luar negara yang mana mewajibkan sesuatu iklan untuk disiarkan dalam negara menggunakan 80 peratus khidmat pelakon, penerbit, krew dan lokasi tempatan. Tetapi apa yang terjadi sekarang?

Sebelum ini hal ehwal komunikasi ‘berpindah tangan’ daripada Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dan kini di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Ehem…….Kalau terlupa mungkin ini ingatan semula kepada kementerian yang terbabit. Jalan tugas anda dengan sebaiknya……sebelum terlajak jauh hala tuju iklan televisyen Malaysia.

1 ulasan:

beritasemasa berkata...

ko memnag kalau ambil artikel orang lain, tak reti bagi link ek?