Jumaat, 18 Jun 2010

"Greater Kuala Lumpur" menghina Selangor dan Sultan


khalid-mb Oleh staf FMT


SHAH ALAM: Perdana Menteri Najib Tun Razak yang membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) menamakan terminologi baru "Greater Kuala Lumpur" bertujuan untuk menafikan sumbangan negeri Selangor terhadap pembangunan ekonomi negara.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempersoal keangguhan kerajaan persekutuan menamakan Petaling Jaya, Subang Jaya, Ampang Jaya dan Shah Alam sebagai sebahagian dari Wilayah Persekutuan atau "Greater Kuala Lumpur".

"Keadaan ini sangat aneh dan pelik. Istilah "Lembah Klang" yang selama ini digunakan ditukar kepada "Greater Kuala Lumpur.

"Dalam nota kaki RMK10, "Greater Kuala Lumpur meliputi Petaling Jaya, Subang Jaya, Ampang Jaya dan Shah Alam," ujar beliau.

Beliau berkata, kesemua kawasan ini termasuk dalam wilayah Selangor. Ini merupakan satu penghinaan kepada negeri dan kedaulatannya.

"Apakah niat kerajaan persekutuan apabila ia memilih untuk mengenepikan istilah Selangor?" soal Khalid.

Menurut beliau, Selangor menyumbang sebanyak 20 peratus ke arah pendapatan negara dan mempunyai hak untuk diiktiraf sebagai penyumbang kepada ekonomi negara.

KDNK penduduk Lembah Klang lebih tinggi

Beliau menambah, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lima juta penduduk Lembah Klang adalah lebih tinggi dari Malaysia secara keseluruhannya.

"Ini tidak termasuk jumlah doktor dan peguam untuk setiap 100 meter persegi di Petaling Jaya lebih dari tempat lain di Malaysia ini.

"Kamu tidak boleh sekali-kali mengenepikan Selangor. Saya ingin mengingatkan Najib dan anggota kabinetnya supaya tidak menganggap rakyat Selangor sebagai musuh, hanya kerana mereka mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Merumuskan detail RMK10 di pejabat SUK di sini semalam, Khalid berkata Malaysia tidak akan dapat menangani krisis ekonomi tanpa sumbangan dari kerajaan negeri.

"Adalah satu langkah yang tidak bijak apabila Najib mengenepikan Selangor hanya kerana rakyat membuat pilihan mereka sendiri," katanya, menambah kabinet membuat keputusan yang merugikan apabila menolak sumbangan rakyat Selangor ke arah pembangunan ekonomi negara.

Mengenai projek dan program, Khalid berkata kerajaan Selangor telah memohon kebenaran untuk 400 projek tetapi sehingga ini tiada jawapan diterima.

Beliau berkata, RMK10 menyisihkan projek pembersihan Sungai Klang, pilihan raya pihak berkuasa tempatan dan menarik balik konsesi aset air.

Beliau juga membidas strategi pengswastaan di bawah RMK10, di mana beliau mendakwa mengikis bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan memberi pentadbiran pelupusan sampah dan monopoli air di Selangor kepada Putrajaya.

"RMK10 menyentuh mengenai pembangunan koridor timor dan utara. Ia juga menyentuh mengenai Iskandar Malaysia dan Sabah tetapi tidak mempunyai rancangan untuk Selangor.

"Secara terang-terang ia menolak kepentingan negeri Selangor. Tetapi kerajaan pusat tidak boleh menyisihkan Selangor kerana nilai ekonomi kita adalah terlampau tinggi," tambah beliau.

Tiada ulasan: