Rabu, 30 Jun 2010

Faekah Angkat Sumpah Jawatan Hari Ini

TV SELANGOR

SHAH ALAM - Faekah Husin telah mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik yang baharu kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan hari ini.

Beliau akan memulakan tugas secara rasmi pada Khamis ini, 1 Julai 2010.

Faekah mengantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang dlantik sebagai Pengarah Komunikasi KEADILAN.

Selain Faekah, tiga lagi pegawai baharu juga mengangkat sumpah iaitu Dr Badrulamin Bahron sebagai Pengarah Penerangan Negeri Selangor serta dua Setiausaha Eksekutif, Azman Abidin dan Dr Razali Bolhi.

Pelantikan beliau serta tiga pegawai tersebut diharap dapat membuka lembaran baru dengan menyumbang idea-idea membangun kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang ketika ini sedang giat membawa pembangunan ekonomi dan sosial kepada rakyat khususnya rakyat Selangor.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini kerajaan negeri yakin Faekah mampu menggunakan pengalamannya sebagai peguam selama hampir 20 tahun untuk meneruskan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang menjadi misi penting Kerajaan Selangor.

Pengalaman beliau selaku Setiausaha Politik kepada Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sejak 2003 akan memberi kekuatan tambahan kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan utama dalam KEADILAN Selangor dan pernah dipilih menduduki Majlis Pimpinan Wanita Keadilan Pusat pada 2001 hingga 2004.

Tiada ulasan: